FOOTBALL FRIDAY: VAR - Pengadil Kelima

FOOTBALL FRIDAY: VAR - Pengadil Kelima

Setiap sukan mempunyai beberapa individu yang dilantik sebagai pengadil perlawanan. Pengadil akan bertindak sebagai individu berkecuali yang akan mengadili sesuatu perlawanan. Sukan bola sepak juga antara sukan yang sangat memerlukan khidmat pengadil untuk menguruskan 90 minit perlawanan di atas padang.

Asasnya setiap perlawanan bola sepak akan diadili oleh seorang ketua pengadil di atas padang dan dibantu oleh beberapa orang pembantu pengadil seperti dua orang penjaga garisan dan pengadil keempat. Sejak tahun 2016, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah memperkenalkan sistem Video Assistant Referee (VAR) sebagai pembantu kepada ketua pengadil perlawanan. Ketua pengadil akan dibantu oleh rakaman video ulang tayang dan beberapa orang pegawai pengadil yang berada di dalam suatu bilik melihat setiap kejadian yang berlaku menggunakan teknologi visual.

Pegawai VAR akan memberitahu ketua pengadil menggunakan telefon kepala sebagai alat komunikasi tentang butiran kejadian dan mensyorkan keputusan yang perlu diambil. Walau bagaimanapun ketua pengadil berhak untuk melihat sendiri ulang tayang kejadian sekiranya beliau merasa curiga atau inginkan kepastian sepenuhnya. Alat bantuan skrin televisyen akan disediakan dan diletakkan di kawasan tepi padang bagi memudahkan ketua pengadil melihatnya sendiri jika dirasakan ianya perlu ditonton sebelum membuat apa-apa keputusan.

Sistem VAR mula digunakan sejak kejohanan FIFA Club World Cup 2016 dan secara rasmi digunakan untuk perlawanan antarabangsa pada tahun 2017 ketika berlangsungnya kejohanan Piala FIFA Konfederasi. Sistem ini juga mula diguna pakai untuk Piala Dunia pada edisi tahun 2018 di Rusia. Pada tahun 2018 juga Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB) telah menetapkan di dalam buku panduan Laws of the Game bahawa sistem VAR kini adalah undang-undang kekal yang akan terus digunakan dalam sesuatu perlawanan bola sepak profesional.

Kebanyakkan perlawanan rasmi bola sepak yang berlangsung pada peringkat antarabangsa akan menggunakan sistem VAR. Sistem ini dianggap sebagai suatu perkara asas yang harus dilibatkan dalam mengadili sesuatu perlawanan. Namun begitu, masih ada negara yang belum menggunakan teknologi VAR secara rasmi. Walaupun negara-negara di Asia Tenggara seperti Thailand dan Vietnam telah menggunakan teknologi VAR, tetapi ia terhad kepada perlawanan tertentu sahaja.

Terdapat tiga kategori yang akan dibantu oleh sistem VAR. Antaranya ialah pengesahan jaringan, penentuan sepakan penalti, dan hukuman kad merah atau kad kuning. Oleh hal demikian, setiap jaringan yang dihasilkan boleh dirujuk kepada video ulang tayang sekiranya timbul keraguan. Kekasaran atau bola terkena tangan pemain di dalam kawasan penalti juga akan dikenal pasti oleh ketua pengadil apabila menonton video ulang tayang kejadian tersebut termasuk kesalahan lain.

Walaupun teknologi VAR ini adalah sesuatu perkara yang memberi banyak manfaat kepada ketua pengadil, sistem ini turut mendapat banyak tentangan dan kritikan sejak pelaksanaannya. Perkara yang paling banyak dipersoalkan ialah minit permainan. Apabila ketua pengadil memerlukan khidmat bantuan VAR, ianya akan menggunakan banyak minit permainan. Semakin banyak kejadian yang memaksa ketua pengadil merujuk kepada video ulangan jadi semakin banyak masa minit permainan akan dibazirkan. Seterusnya elemen tugas pengadil dan penjaga garisan juga dipersoalkan kebergantungannya. Fungsi pengadil berkurangan kerana teknologi komputer melebihi kuasa manusia.

Sistem VAR ini akan digunakan untuk mengenal pasti beberapa kejadian yang berlaku kerana kegagalan ketua pengadil mengenal pasti kesalahan yang dilakukan oleh pemain. Kesalahan-kesalahan yang berlaku seperti pemberian kad merah, kedudukan melepasi Offside atau penentuan sepakan penalti. Ketua pengadil akan membuat atau menerima panggilan daripada pegawai VAR di bilik khas untuk meneliti kejadian dengan menonton rakaman ulang tayang kejadian tersebut.

Hingga ke hari ini, rata-rata peminat, pengulas dan pemerhati bola sepak seakan tidak memahami secara jelas kaedah dan kegunaan sistem VAR ini. Ramai dalam kalangan mereka ingin mengetahui siapakah yang berkuasa penuh ke atas setiap keputusan kerana boleh dikatakan hampir setiap keputusan pengadil kini bergantung kepada VAR. Selain itu, persoalan adakah semua kesalahan perlu dirujuk kepada VAR dan keperluan ketua pengadil menonton VAR merupakan perkara yang perlu dilakukan atau bergantung kepada budi bicara ketua pengadil tersebut.

Disebabkan oleh banyak kritikan dan komen daripada pelbagai pihak, beberapa elemen boleh di ambil kira untuk kemajuan sistem VAR pada masa akan datang. Pihak Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) perlu memainkan peranan untuk mengkaji selanjutnya penggunaan sistem teknologi ini. Hal sedemikian dapat memberi kepuasan dan penerimaan dalam kalangan pemain, barisan pengurusan pasukan dan penyokong terhadap setiap keputusan pengadil. Pihak persekutuan bola sepak di setiap negeri juga perlu meneliti secara khusus kewajaran sistem ini dan mencadangkan penambah baikan kepada FIFA. Sistem ini bagaimana pun baru dilaksanakan kurang dari 5 tahun jadi pasti akan ada banyak kekurangan dan kelemahannya.

Sebagai peminat dan pemerhati bola sepak, penulis bersetuju penggunaan sistem ini dalam sukan bola sepak tetapi perlu dihadkan kepada hanya beberapa situasi di atas padang. Sebagai contoh, dalam menentukan keputusan pemberian hukuman kad, ketua pengadil tidak perlu merujuk kepada sistem VAR sebaliknya memberi hukuman mengikut budi bicara dan kepakarannya sendiri. Justeru, hukuman kad kuning atau kad merah akan dilaksanakan dengan lebih munasabah dan terperinci. Kesalahan kedudukan Offside dan penentuan bola melepasi garisan gol bagaimana pun memang wajar ditentukan oleh sistem ini kerana melibatkan jaringan yang boleh menentukan keputusan akhir perlawanan. Semoga sistem teknologi Video Assistant Referee (VAR) ini akan lebih memeriahkan lagi suasana bola sepak di atas padang.

Mohd Syazlan Aliff adalah seorang peminat tegar bola sepak yang bernafas dalam lagu You'll Never Walk Alone

Foto ihsan CNN International

 

Share this Post: