Piala Dunia merupakan kejohanan bola sepak terbesar yang melibatkan semua negara yang berdaftar bawah naungan dan pentadbiran Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). Kejohanan berprestij ini akan berlangsung sekali dalam tempoh masa empat tahun.
FIFA bertanggungjawab menentukan lokasi kejohanan setelah dipersetujui oleh lembaga FIFA. Negara yang terpilih sebagai tuan rumah kejohanan ini akan layak ke Piala Dunia secara automatik. Bagi negara lain pula, mereka perlu melepasi saingan kelayakan mengikut zon di setiap benua seluruh dunia. Sebanyak 32 pasukan kebangsaan akan layak ke pusingan akhir daripada 207 buah pasukan kebangsaan dari benua Eropah, Amerika Selatan, Amerika Utara, Asia, Afrika dan Ocenia yang menjadi ahli persatuan FIFA.
Mengikut sejarah, kejohanan bola sepak paling berprestij ini pada mulanya diadakan di Uruguay. Uruguay terpilih sempena meraikan ulang tahun perlembagaannya yang ke-100 pada tahun 1930. Dengan kelebihan sebagai pasukan tuan rumah, Uruguay telah berjaya merangkul gelaran juara sulung kejohanan tersebut. Sebelum Piala Dunia diperkenalkan, hanya Sukan Olimpik merupakan pertandingan sukan yang melibatkan antara benua. Pada Mei 1928, pihak FIFA telah membuat keputusan untuk melaksanakan sendiri pertandingan yang hanya melibatkan sukan bola sepak.
Kejohanan Piala Dunia telah berlangsung sebanyak 21 kali dengan 17 buah negara berpengalaman menjadi tuan rumah kejohanan tersebut. Negara Brazil, Jerman, Perancis, Itali dan Mexico masing-masing pernah menjadi tuan rumah sebanyak dua kali. Edisi lepas iaitu pada tahun 2018 telah berlangsung di negara Rusia manakala edisi yang akan datang pada 2022 bakal diadakan di Qatar mengikut perancangan pihak FIFA. Antara tuan rumah lain yang pernah memenangi piala tersebut ketika menjadi tuan rumah adalah pasukan pada tahun 1966 , Jerman pada 1974 dan Argentina pada 1978.
Benua Asia pertama kali menjadi tuan rumah kejohanan Piala Dunia pada tahun 2002 di mana negara Korea Selatan dan Jepun menjadi pilihan untuk menganjur pertandingan itu. Edisi tersebut turut menggemparkan ramai peminat bola sepak kerana pasukan Korea Selatan yang menjadi pihak tuan rumah telah berjaya mara hingga ke peringkat separuh akhir walaupun hanya meraih tempat keempat setelah tewas 2-3 kepada pasukan Turki. Pada tahun itu juga, pasukan Brazil telah dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan pasukan Jerman dengan jaringan 2-0.
Pada edisi lepas yang berlangsung di negara Eropah Timur iaitu Rusia, daripada 32 pasukan yang layak bermain di peringkat akhir kejohanan tersebut, sebanyak 20 pasukan yang pernah layak dalam peringkat akhir 2014 telah membuat penampilan semula. Dalam edisi 2018 juga, pasukan Iceland dan Panama membuat kemunculan pertama mereka di Piala Dunia. Kejohanan kali ke-21 itu juga adalah kali pertama penggunaan Video Assistant Referee (VAR) bagi setiap perlawanan yang berlangsung dibenarkan oleh FIFA.
Semenjak Piala Dunia diadakan pada 1930, hanya sebanyak lapan buah pasukan kebangsaan yang pernah berjaya merangkul gelaran juara. Brazil mendahului carta pemenang terbanyak dengan merangkul sebanyak lima kali piala tersebut iaitu dalam edisi 1958, 1962, 1970, 1994, dan 2002. Brazil diekori rapat oleh pasukan Jerman dan Itali, dengan masing-masing menjuarainya sebanyak empat kali. Sejak dahulu lagi, pasukan Brazil sentiasa dianggotai oleh beberapa pemain bertaraf bintang seperti Pele, Romario, Ronaldinho, Ronaldo dan ramai lagi, menjadikan mereka sentiasa dilihat sebagai pilihan juara.
Benua kita Asia pula tidak banyak perubahan dari segi kelayakan ke pusingan akhir. Hanya lapan pasukan dari Asia sahaja yang pernah beraksi di pentas kejohanan Piala Dunia. Wakil Asia yang paling berjaya dalam kejohanan Piala Dunia ialah pasukan kebangsaan Korea Selatan, yang berjaya bersaing di pusingan akhir sebanyak 10 kali. Korea Selatan diikuti dengan pasukan Jepun (6 kali), Australia (5 kali), Arab Saudi dan Iran (4 kali), Korea Utara (2 kali) serta pasukan China yang pernah layak sekali pada tahun 2002.
Begitu pun, penghormatan harus diberikan kepada pasukan Indonesia, satu-satunya wakil Asia Tenggara yang pernah layak ke pusingan akhir Piala Dunia pada tahun 1938 di negara Perancis. Malah, pasukan Garuda yang pada ketika itu dikenali sebagai pasukan Hindia Timur Belanda juga sebenarnya adalah negara Asia pertama yang layak ke Piala Dunia. Dari sudut pencapaian pula, hanya Korea Selatan yang pernah melakar rekod kejohanan, menjadi negara Asia pertama yang pernah meraih pingat walaupun hanya sekadar di kedudukan tempat keempat.
Kejohanan ini adalah pentas penting yang mampu menonjolkan kemahiran seseorang pemain dan memberi peluang buat mereka mencapai status bintang dalam karier mereka. Antara nama yang sentiasa segar dalam ingatan peminat melalui aksi Piala Dunia tentu sekali Diego Maradona yang membantu pasukan Argentina memenanginya pada tahun 1986. Kemunculan di Piala Dunia adalah impian buat semua pemain bola sepak. Dari kejohanan ini, mereka dapat mempamerkan kehebatan mereka dan melonlakkan lagi karier masa hadapan. Lihat sahaja Brazil dengan barisan all-stars mereka.
Buat kita, pasukan kebangsaan skuad Harimau Malaya sentiasa memasang cita-cita untuk layak ke pusingan akhir Piala Dunia. Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memutuskan bahawa kelayakan Piala Dunia bagi zon Asia akan dimulakan semula pada bulan Mac tahun 2021. Jurulatih dan para pemain kita sehingga kini masih optimis untuk melakar kejutan dengan layak ke pusingan akhir Piala Dunia yang akan datang.
Dalam masa sama, terdapat banyak gesaan untuk Asia Tenggara mula membuat bidaan bersama untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia, sekurang-kurangnya untuk edisi tahun 2034 akan datang. Thailand telah pun memulakan proses bidaan dengan harapan ianya akan disertai oleh negara-negara lain dari rantau ini. Selepas lebih 90 tahun, Piala Dunia hanya akan sentiasa lebih besar dari semalam, dan sentiasa menjadi kejohanan bola sepak terbesar di dunia.
Mohd Syazlan Aliff adalah seorang peminat tegar bola sepak yang bernafas dalam lagu You'll Never Walk Alone
Foto hiasan ihsan FIFA
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.