Bayangkan anda merupakan seorang pemain bola sepak yang mewakili pasukan nasional. Selepas selesai berhempas dalam pusingan kelayakan, dan disahkan tidak berpeluang menjejaki peringkat akhir - anda sudah boleh perlahan-lahan move on.
Mengambil peluang dalam masa yang bakal lapang untuk beberapa minggu ke hadapan, anda bersiap-siap untuk menikmati percutian musim panas yang panjang bersama keluarga dan rakan-rakan.
Tiba-tiba, anda diberi notis untuk melaporkan diri ke kem latihan dan persiapan kerana pasukan anda yang sepatutnya sudah dilupakan, terpilih untuk menggantikan pasukan lain dalam kejohanan yang telah sepatutnya ditinggalkan hanya kerana pasukan yang sepatutnya bertanding hilang kelayakan akibat perang saudara.
Dan ini semua berlaku SEMINGGU sebelum kejohanan musim panas tersebut dijadualkan bermula. Apa yang anda lakukan?
Pergi dan bermain hanya sebagai pelengkap jadual perlawanan? Atau berhabis-habisan untuk menebus kembali peluang yang awalnya terlepas?
Bunyinya macam kisah dongeng yang layak dijadikan skrip filem, namun ia adalah hal yang benar-benar terjadi kepada pasukan bola sepak Denmark dalam Kejohanan Eropah 1992 (Euro ‘92) di Sweden.
Mereka gagal melayakkan diri apabila hanya menjadi naib juara kumpulan ketika pusingan kelayakan berlangsung. Dalam pusingan kelayakan, mereka berada dalam kumpulan yang terdiri daripada Kepulauan Faroe, Ireland Utara, Austria, dan Yugoslavia yang berjaya melayakkan diri sebagai juara kumpulan.
Namun, bak kata pepatah ‘Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu’.
Seminggu sebelum kejohanan dijadualkan berlangsung, Denmark diberi notis oleh Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) yang mereka akan bersaing dalam Euro '92 menggantikan Yugoslavia.
Perang saudara yang tercetus di Yugoslavia menyebabkan pasukan tersebut dikenakan sekatan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 30 Mei 1992 dan sehari kemudiannya digantung kelayakan mereka daripada menyertai sebarang kejohanan bola sepak kompetitif oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan EUFA.
Kejohanan Euro 1992 ini turut mencipta sejarah apabila julung kalinya pasukan Jerman bertanding sebagai sebuah pasukan tunggal selepas negara yang lama terpisah akibat kemelut pasca Perang Dunia Kedua itu, bersatu semula sebaik kejatuhan Tembok Berlin di penghujung 1989.
Di samping itu, Kesatuan Soviet yang awalnya layak ke Euro 1992 juga telah telah digantikan oleh pasukan baharu, Komanwel Negara Bebas yang merupakan pasukan hasil gabungan bekas negara-negara Kesatuan Soviet yang bersama selepas Kesatuan Soviet dibubarkan.
Euro 1992 juga merupakan kejohanan terakhir yang melibatkan lapan pasukan bertanding; di mana penyertaannya telah ditambah kepada 16 pasukan menjelang Euro 1996, selain penganugerahan dua mata untuk setiap kemenangan dalam peringkat kumpulan, dan menjadi kali terakhir penjaga gol dibenarkan untuk memegang bola secara terus apabila hantaran ke belakang dilakukan.
Pada saat bermulanya kejohanan, dengan tirainya rasmi dibuka pada 10 Jun 1992; Denmark telah diundi di dalam kumpulan 1 yang turut menampilkan saingan amat hebat - tuan rumah kejohanan iaitu Sweden sendiri, dan tidak cukup dengan itu - dua gergasi bola sepak Eropah, England dan Perancis. Denmark jelas bukan pasukan pilihan.
Begitu pun, dalam perlawanan pertama di peringkat kumpulan, Denmark - pasukan payung terjun yang hanya mempunyai seminggu untuk mempersiakan diri berjaya mengikat England dengan jaringan 0-0, sebelum tewas perlawanan kedua 1- 0 di tangan tuan rumah, Sweden.
Menuju perlawanan terakhir peringkat saingang kumpulan, Denmark dijadual bertemu Perancis yang juga juara bagi edisi 1984. Tiada pilihan lain melainkang Denmark perlu memenangi aksi menentang Les Blues bagi melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.
Seperti sebuah mimpi, Denmark berjaya menewaskan Perancis pada perlawanan itu dengan jaringan 2-1 sekaligus berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir sebagai naib juara kumpulan 1 untuk bertemu dengan juara kumpulan 2 yang juga penyandang juara, Belanda.
Skuad Belanda, yang diketuai oleh legenda Oranje Ruud Gullit dan dibarisi oleh pemain bintang seperti Marco Van Basten, Ronald Koeman, Frank Rjiikard yang turut disertai oleh bintang muda yang sedang meningkat naik, Dennis Bergkamp dan Frank De Boer. Sekali lagi, Denmark turun sebagai pasukan underdog, berdepan dengan penyandang juara.
Bermain sebagai pasukan bukan pilihan, Denmark membuat kejutan lagi dengan mengikat skuad Belanda 2-2 dalam perlawanan yang berlanjutan sehingga masa tambahan. Sepakan penalti menjadi penentu bagi perlawanan tersebut.
Penentuan sepak penalti telah menyaksikan sepakan penalti yang diambil oleh penyerang legenda Belanda, Marco Van Basten diselamatkan oleh penjaga gol legenda Denmark, Peter Schmeichel yang setahun sebelum itu melengkapkan perpindahan ke England untuk bermain bersama Manchester United.
Dengan disaksikan ribuan penonton di stadium, Denmark telah sekali lagi melakar kejutan dengan berjaya menewaskan Belanda 5-4 melalui penentuan sepakan penalti tersebut. Peter Schmeichel telah melakar sejarah sendiri - menolak Denmark, pasukan bukan pilihan yang tidak pun asalnya layak untuk beraksi dalam Euro 1992, mara ke perlawanan akhir.
Dalam perlawanan akhir, Denmark yang berjaya mengejutkan Eropah akhirnya bertemu dengan pasukan pilihan, Jerman, yang menewaskan tuan rumah, Sweden 3-2 pada aksi separuh akhir pertama. Jerman juga merupakan penyandang juara dunia yang memenanginya pada 1990 di Itali.
Sekali lagi turun sebagai underdog, Denmark menyerap asakan demi asakan yang menuju ke gawang gol mereka.
Legenda Red Devils, Schmeichel sekali lagi menjadi wira kepada skuad De rød-hvide yang berjaya mematahkan cubaan demi cubaan Die Mannschaft yang bermula garang sejak dari awal permainan.
Walaupun Jerman mengawal permainan pada separuh masa pertama, Denmark terlebih dahulu menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-19 melalui percubaan oleh pemain tengah mereka John Jensen hasil rembatan deras dari dalam kotak penalti.
Separuh masa kedua bermula dengan Jerman masih menguasai pemainan walaupun mereka gagal mencipta sebarang peluang yang benar-benar menggugat pintu gawang Denmark.
Menuju lewat permainan, peluang baik terhidang buat Jerman untuk menyamakan kedudukan melalui Jurgen Klinsman, tetapi Schmeichel selagi menjadi penyelamat gawang Denmark.
Minit ke-78, segala peluang untuk Jerman bangkit semula tertutup rapat. Denmark sekali lagi menjaringkan gol, kali ini melalui pemain tengah mereka, Kim Milfort.
Beliau menggelecek melepasi dua pertahanan Jerman dan melakukan rembatan rendah ke penjuru gawang gol yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol Jerman. Dengan demikian - Denmark menjadi Juara Eropah 1992.
Jadi, begitulah pengakhiran ‘kisah dongeng’ Denmark pada Euro ‘92. Pergi sebagai pasukan gantian yang dianggap sebagai hanya pelengkap jadual perlawanan dan pulang sebagai juara Eropah.
Amar Afiq adalah seorang peminat kugiran Queen dan pasukan bola sepak Arsenal. Beliau merupakan mantan mahasiswa jurusan Sains dan Bahasa Inggeris, namun lebih berminat memerhatikan keanehan manusia.
Foto: Press Association
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.