Kemenangan Ferdinand Marcos Jr. atau nama timangannya “Bongbong” dalam Pilihan raya Presiden Filipina 2022 disambut loceng amaran kepada seluruh dunia demokrasi. Sangat membingungkan bagaimana pengundi boleh terpengaruh dengan berita palsu walau ada di antaranya sangat tidak masuk akal seterusnya memberi kemenangan besar kepada Bongbong, anak pasangan diktator Ferdinand dan Imelda Marcos yang ditumbangkan Revolusi Kuasa Rakyat lebih tiga dasawarsa lalu.
Lebih menakutkan, perjalanan kempen beliau sangat mirip dengan apa yang sedang berlaku di Malaysia. Apa yang berlaku?
Bongbong Marcos bukanlah nama yang asing dalam politik Filipina. Di penghujung pemerintahan kediktatoran ayahnya, beliau sempat menjadi Naib Gabenor wilayah ataupun provinsi Ilocos Norte. Kemudiannya dari tahun 1998 sehingga 2007 beliau terpilih menjadi Gabenor provinsi tersebut pula.
Bongbong Marcos juga terpilih untuk menjadi ahli Dewan Perwakilan Filipina mewakili daerah kedua Ilocos Norte. Pada pilihan raya umum Filipina 2016 beliau bertanding jawatan Naib Presiden namun tewas tipis kepada Leni Robredo.
Pilihan raya Presiden 2022 menyaksikan pertembungan semula mereka berdua untuk jawatan Presiden dan kali ini Bongbong Marcos menang besar. Kempen yang dilakukan oleh para penyokong Bongbong Marcos yang menggunakan pelbagai saluran media sosial termasuklah saluran TikTok dan Youtube berjaya mengalahkan kempen pintu ke pintu dan penerangan yang dilakukan oleh para penyokong Leni Robredo.
Namun yang menyedihkan kempen pro-Bongbong Marcos dipenuhi dengan berita palsu. Tentu saja penyebaran berita palsu ini tidak berlaku dalam seminggu dua sahaja. Kerana itu ramai pemerhati dari awal lagi telah menjangkakan bahawa Bongbong Marcos akan menang pilihan raya.
Antara contoh berita palsu yang dibuat penyokong Bongbong ialah kononnya beliau mampu menarik semula jongkong emas yang dipinjamkan kepada 170 buah negara luar kepada Filipina dan menjadikan negara itu kaya semula.
Penyokongnya juga menyebarkan yang kononnya Ferdinand Marcos sebenarnya tidak pernah didapati bersalah dalam jenayah menyonglap duit negara yang dianggarkan puluhan bilion ringgit.
Kempen berita palsu oleh penyokong Bongbong Marcos juga memburukkan lawannya seperti dituduh sebagai propengganas komunis walhal dia adalah wakil parti berfahaman liberal. Gambar ceramah parti beliau juga disunting agar kelihatan sedang mengganggu peribadatan di gereja dan seterusnya membangkitkan amarah rakyat Filipina yang majoritinya beragama Kristian.
Tanpa kempen berita palsu, masa depan politik Bongbong yang bertemakan perpaduan sebenarnya kabur kerana beliau sendiri pernah terpalit dengan isu integriti seperti penipuan cukai, tidak mahu membayar cukai estet keluarga dan pengakuan palsu kelayakan Universiti Oxford.
Namun kempen-kempen palsu dan penipuan yang dilakukan oleh para penyokongnya di alam siber dilihat sangat berjaya. Bongbong digambarkan sebagai seorang yang sering disisihkan oleh media walaupun perkara itu tidak benar, namun kempen ini berjaya meraih simpati dan emosi rakyat.
Terdapat juga kempen palsu yang kononnya Bongbong menjadi sasaran peluru sehari sebelum kempen pilihan raya presiden bermula dan menggambarkan seolah-olah peluru ini datang dari parti lawan. Hakikatnya peristiwa tersebut sebenarnya terjadi pada 2015. Malangnya fitnah itu telah dilihat sebanyak tiga juta kali dan menimbulkan emosi rakyat.
Ternyata kempen palsu di media sosial oleh penyokong Bongbong Marcos sangat berjaya, namun penggunaan media sosial untuk penyebaran berita palsu tanpa kompas moral adalah penambah buruk kepada situasi demokrasi yang sudah sedia bergelut dengan pelbagai cabaran, kitaran penipuan dan korupsi.
Kita sendiri boleh melihat di Malaysia bagaimana fitnah bertebaran di media sosial dan pesalah rasuah kini dijulang seperti wira. Adakah kita juga sedang menuju ke arah kedurjanaan yang sama seperti Filipina?
Rizuan Abdul Hamid adalah seorang yang berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah dan mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau ialah homo sapiens yang cuba menjadi insan.
Foto ihsan: Yahoo News
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.