Evolusi Identiti dan Seksualiti Wanita Melayu dari Kanta Wanita Kilang (Bhg 1)

Evolusi Identiti dan Seksualiti Wanita Melayu dari Kanta Wanita Kilang (Bhg 1)

Apakah ertinya untuk hidup sebagai seorang wanita di Malaysia? Dalam sebuah tugasan kajianku mengenai Seks dan Wanita Melayu, soalan ini aku anjurkan kepada teman-teman wanitaku yang berumur awal 20-an. Jawapan mereka seakan-akan gemaan antara satu sama lain di dalam sebuah gua yang kelam dengan kepasrahan, “Wanita sering menjadi orang pertama yang disalahkan.”

Dalam catatan etnografi oleh Aihwa Ong, seorang ahli antropologi yang kini menetap di California, Amerika Syarikat dan mengajar di California University of Berkeley, masyarakat di perkampungan Melayu, atau selalunya dipanggil orang kampung, mengertikan budaya melalui sudut pandang dunia yang berkait rapat dengan unsur-unsur setempat mereka, yakni adat – praktik dan kata-kata lazim, serta prinsip-prinsip keislaman. Sudut pandang duniawi ini dikongsi oleh rata-rata masyarakat Melayu, bahkan melebar melangkaui orang-orang di kampung dan menyusup sebati ke dalam pemikiran mereka yang berada di pekan atau bandar, yang lagi sedang berhadapan dengan arus pemodenan dan pembangunan negara, bergolak-golak merunding dan membicarakan hal-hal dunia baharu sambil ingin mengekalkan nilai-nilai adat mereka.

Namun pergolakan ini bukanlah baru sahaja timbul dari asbab modenisasi, nilai-nilai dalam budaya Melayu telah lama ditimbal-balik, dipisah dan disatukan, dengan aturan-aturan keislaman – di mana adat dan tingkah laku sosial sering wujud dalam ritma negosiasi antara satu sama lain, seperti adat lenggang perut, lambung kain, merenjis tepung tawar, dan pelbagai lagi praktis dan ritual yang tanpa kita sedar atau tidak, bercanggah dan bercampur dengan fahaman budaya dan agama. Wujud juga pepatah lazim di kalangan masyarakat Melayu, ‘Biar mati anak, jangan mati adat’, yang melambangkan seberapa pentingnya adat dalam budaya Melayu. Apa pula kata adat tentang wanita dan seks?

Adat dalam budaya Melayu mengertikan kewanitaan (perempuan dewasa) berbeza dengan laki-laki, namun masih di dalam lingkungan identiti wanita dan perhubungannya dengan laki-laki. Agama Islam menekankan kesucian wanita terutamanya terhadap wanita bujang, atau anak dara, tatkala pada masa yang sama menuntut anak-anak perempuan untuk bersederhana dan bersifat malu dalam perbuatan dan percakapannya. Aktiviti berkancah dalam perbuatan seperti seks kasual bagi wanita yang belum berkahwin dan gadis remaja dikutuk dan dihukum dengan keras. Maka, menjadi sebuah tujuan untuk esei ini memahami persepsi terhadap identiti dan seksualiti sebagai seorang wanita yang wujud ditengah-tengah ritma negosiasi masyarakat tentang siapa mereka dan bagaimana mereka harus berkehidupan.

Penekanan garis aturan Islam yang mewajibkan wanita untuk menutup aurat dan berhijab tidak sebegitu tampak sebelum kedatangan gerakan kebangkitan semula Islam di lewat 70-an, di mana masyarakat mula menganggap rambut sebagai ciri erotik milik wanita. Semasa zaman pra-industri dan prospek pendidikan tinggi masih lagi belum mencapai minda masyarakat secara meluas, gadis remaja kebiasaannya menjalani kehidupan harian mereka di sekitar kawasan yang berdekatan dengan rumah dan di kampung, di samping perlu menjaga jarak hubungan dengan ahli keluarga lelaki. Manakala ahli keluarga lelaki pula (terutamanya anak muda), memainkan peranan penting untuk memastikan gadis-gadis dalam keluarganya tidak bergaul dengan lelaki-lelaki yang bukan dari kalangan ahli keluarga terdekat. Rangka adat ini juga menuntut kaum wanita untuk ‘melindungi’ dan ‘menyimpan’ keperawanan seksual (dara) mereka khas untuk para suami, selari dengan konsep pemeliharaan ‘dara’ dan larangan berzina yang membenarkan perlakuan seks hanya diantara pasangan yang telah berkahwin. Zina atau khalwat — perlakuan seks di luar perkahwinan, dilarang dan wajib dihukum mengikut garis panduan agama Islam serta masyarakat Melayu, sekali gus menjadi sebuah risiko buat wanita yang belum berkahwin untuk melibatkan diri dalam aktiviti sedemikian.

Pada masa yang sama, dari sudut pandang sosioekonomi di sekitar tahun 1970-an, Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan pada tahun 1971 telah merubah dan menstruktur semula sistem ekonomi yang sehingga ketika itu memisahkan kaum, dan kemudian mebina satu landskap politik ekonomi yang lebih moden. Dasar ini mempromosi industri yang berorientasikan pengeksportan untuk mengatasi masalah ketiadaan aset seperti ladang untuk aktiviti pertanian, masalah pengangguran di luar bandar, dan ketidakpuasan politik apabila semakin ramai anak muda mula berhijrah ke luar negara.

Sepanjang tahun 1970 sehingga 1980, kerajaan telah membangunkan sebanyak 59 kawasan pengindustrian di mana 9 daripada kawasan tersebut merupakan ‘free trade zone’ (FTZ) atau Kawasan Perdagangan Bebas bagi menarik minat pelaburan syarikat subsidiari transnasional untuk mendirikan kilang. Kilang-kilang yang dimiliki syarikat asing ini menyediakan lambakan peluang pekerjaan dengan gaji rendah, yang kebanyakannya dipenuhi wanita melayu apabila mereka mula menyertai trend penghijrahan dari luar bandar ke pekan-pekan besar. Pengambilan atau rekruitmen wanita di kampung untuk bekerja di kilang-kilang FTZ bercambah apabila orang-orang di kampung mula menunjukkan minat dan semangat untuk menghantar wanita-wanita di kampung mereka yang sehingga waktu itu tidak terlibat dalam aktiviti ekonomi dan tidak menghasilkan pulangan wang buat keluarga.

Penghijrahan besar-besaran wanita muda ke kawasan FTZ merubah bukan sahaja taburan geografi wanita-wanita kampung di luar kawasan tradisional, namun sebuah dunia baharu seolah-olah terbentang luas buat mereka, untuk menyertai dan merasai situasi pasaran pekerjaan serta bergaul dan bertanding dengan bebas di samping para laki-laki. Pada kala itu, kejadian seumpamanya merupakan sesuatu yang tidak pernah berlaku — sebuah dunia dan dinamika baharu terbuka. Sang wanita memperoleh autonomi ke atas kebebasan kewangan dan sosial kendiri mereka, dan bermula itu juga mereka bereksperimen dengan identiti dirinya yang baru.

Pekan-pekan besar di sekitar kawasan FTZ kemudian dikejutkan dengan latar pemandangan yang berbeza dari yang biasa seraya kehadiran wanita bersiar-siar di sekeliling pekan, di tempat perhentian bas, gerai dan warung, bahkan di luar pagar FTZ itu sendiri mula kelihatan. Perubahan identiti wanita melayu yang belum berkahwin, yang sebelum itu kebiasaannya harus berada berdekatan dengan rumah keluarga, memelihara kesucian diri, bersederhana dan bersifat pemalu, kian rancak menunggang aliran penghijrahan dan hidup berjauhan dari keluarga, bebas berinteraksi dengan laki-laki bukan ahli keluarga samada di tempat kerja atau sosial, dan berpakaian serba serbi penuh warna dengan stail-stail lebih kebaratan sambil berjalan-jalan di tempat awam — sekali gus menulis semula identiti mereka di luar kerangka definisi adat.

Bersambung.

Sara Salimi merupakan mahasiswa tahun ketiga jurusan Antropologi dan Sosiologi di Universiti Malaya, juga merupakan salah seorang pemerhati rapat dengan gelanggang aktivisma mahasiswa.

Foto: The Conversation

Share this Post: