Endemik merupakan keadaan dimana sesuatu penyakit ataupun wabak yang sentiasa wujud di sesuatu kawasan dan penularan wabak tersebut adalah dalam skop yang lebih besar seperti penularan wabak yang melibatkan sebuah negara. Terdapat tiga negara di dalam dunia ini yang merekodkan wabak endemik yang paling tinggi iaitu negara Peru yang melibatkan wabak demam kuning, malaria dan demam denggi; negara Madagascar yang melibatkan wabak bubonik dan Republik Congo yang melibatkan wabak demam kuning dan malaria. Kawasan-kawasan di benua Afrika juga merekodkan kes wabak malaria yang tinggi.
Pada Oktober 2021, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin telah mengeluarkan kenyataan di Astro Awani mengenai negara Malaysia yang bakal beralih ke tahap endemik. Peralihan ini akan dibuat sekiranya data yang diperoleh serta indikator adalah rendah. Virus COVID-19 ini akan menjadi seperti penyakit demam denggi atau H1N1 yang sentiasa ada tetapi kehidupan tetap akan diteruskan seperti biasa.
H1N1 awalnya diisytiharkan sebagai pandemik pada tahun 2009 dan beralih ke fasa endemik setahun kemudian. COVID-19 telah diisytiharkan sebagai pandemik pada tahun 2021 tetapi masih belum beralih ke fasa endemik kerana bergantung kepada parameter kesihatan awam yang sedia ada.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Kesihatan tersebut telah menimbulkan perasaan yang bercampur baur oleh masyarakat Malaysia. Sesetengah daripada masyarakat merasakan bahawa ini adalah pengumuman yang terbaik kerana telah lama terkurung dan tidak dapat bertemu dengan keluarga di kampung halaman. Apabila diumumkan bakal beralih ke fasa endemik, masyarakat bebas bergerak kemana sahaja dan tiada lagi sekatan pergerakan.
Terdapat juga sesetengah masyarakat yang berasa risau kerana apabila pergerakan tidak lagi disekat dan bebas, kes harian dikhuatiri bakal meningkat lebih daripada yang sebelumnya. Wujudnya perbalahan di media sosial mengenai isu ini. Segelintir berhujah supaya orang yang tidak berada di tempat mereka, memahami keadaan bahawa mereka sudah lama tidak dapat menjenguk ahli keluarga. Terdapat segelintir pula yang meminta agar tidak mementingkan diri kerana wabak ini boleh berjangkit dan melibatkan orang lain.
Perkara sebegini sebenarnya tidak menimbulkan sebarang isu sekiranya kita memahami dengan baik keputusan yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan. Apabila wabak masih wujud walaupun telah lanjut satu tempoh yang agak lama, satu keputusan harus dilakukan agar kita dapat meneruskan kehidupan harian. Kita tidak dapat lagi sentiasa menyekat pergerakan kerana ini akan menjejaskan pelbagai sektor melalui pelbagai sudut.
Fasa endemik bererti semua masyarakat akan terus hidup dalam wabak ini tetapi masih lagi meneruskan penjagaan SOP yang telah ditetapkan sebelum ini. COVID-19 ini boleh merebak melalui tiga saluran iaitu mata, mulut dan hidung. Jadi, jika kita sentiasa berhati-hati dan sentiasa mengikut SOP yang telah ditetapkan, kita akan dapat menjalani kehidupan seperti biasa.
Meskipun pada awalnya, pemakaian pelitup muka dan sentiasa menjaga jarak adalah agak tidak selesa dan tidak menjadi kebiasaan kita, namun, kita lebih terbiasa dengan keadaan ini kerana kita menjalani kehidupan sebegini dalam tempoh yang agak lama.
Setiap aktiviti mahupun perniagaan yang tergendala sebelum ini akibat daripada peningkatan kes harian itu haruslah diteruskan semula. Banyak syarikat kecil mahupun besar mengalami kerugian yang tinggi akibat daripada sekatan ini. Kini, tanggungjawab kita bersama untuk membangunkan semula ekonomi yang merosot.
Tidak dapat dinafikan bahawa segelintir masyarakat yang berasa risau dengan tahap kejangkitan yang bakal berlaku sekiranya kita beralih ke fasa endamik. Kekuatiran mereka sebenarnya sangat logik tambahan pula pada individu yang kehilangan ahli keluarga mahupun kenalan rapat disebabkan virus COVID-19 ini. Mereka mungkin masih trauma kehilangan orang yang tersayang dalam sekelip mata kerana virus ini boleh membunuh dalam tempoh masa yang cepat dan singkat.
Namun, setiap perkara yang berlaku semestinya mengambil masa. Segelintir masyarakat yang tidak bersetuju beralih ke fasa endemik juga akan mengubah pemikiran mereka sekiranya melihat bahawa peralihan ini membawa lebih banyak kebaikan daripada keburukan. Peningkatan kes semestinya boleh dikawal sekiranya kita sentiasa menjaga jarak, memakai pelitup muka dan menggunakan sanitasi tangan.
Peralihan ke fasa endemik semestinya memberi banyak kebaikan daripada keburukan. Contohnya seperti, lebih ramai penganggur yang mendapat peluang pekerjaan, peniaga kecil dapat meneruskan semula perniagaan mereka, pergerakan lebih bebas dan dapat menikmati kehidupan seperti biasa.
Kesimpulannya, kita hendaklah berfikiran terbuka dalam peralihan ke fasa endemik ini. Kita harus menyertai aktiviti harian di samping menyekat pergaulan dengan sentiasa menjaga SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Kes harian tidak mustahil akan menurun dengan drastik sekiranya kita menjadikan perkara ini sebagai tanggungjawab bersama. Kita jaga kita.
Nurasyiqin Khidir Neoh adalah seorang pemegang Ijazah Sarjana Sains Gunaan (Kimia Analisis) dari Universiti Sains Malaysia.
Foto: Straits Times
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.