Didi Kempot bukan penyanyi biasa. Dia adalah idola bagi ramai orang di Indonesia. Orang-orang Malaysia juga mengenali Didi Kempot.
Peminat-peminatnya bukan cuma pendengar, tetapi sebuah komuniti besar yang aktif membangun imej sebagai ‘sad bois’ dan ‘sad girls’. Dalam kajian budaya, fenomena ini layak disebut sebagai ‘fandom’.
‘Sad bois’ dan ‘sad girls’ adalah contoh budaya penyertaan. Bahkan, terdapat pula kelab-kelab di sejumlah daerah. Misalnya, Solo Sad Bois Club dan Pekalongan Sad Bois Club.
Mereka memiliki hubungan sosial yang kuat dan saling menyokong antara satu sama lain. Jika di Korea Selatan ada ARMY, di Indonesia pula ada ‘sobat ambyar’ yang tersendiri.
Didi Kempot tidak setampan artis-artis K-pop. Walau bagaimanapun, Didi Kempot tetap memberikan kesan luar biasa melalui lagu-lagunya yang sederhana. Itulah yang mungkin dinikmati oleh ‘sad bois’ dan ‘sad girls’. Sub-budaya ini mungkin tidak memiliki ideologi politik. Namun, mereka berkongsi ikatan emosi yang sama.
Malah, walaupun Didi Kempot atau gelarannya, The Godfather of Broken Hearts, menggunakan bahasa Jawa dan genre muzik campursari, lagu-lagunya tentang patah hati berjaya menarik perhatian pelbagai lapisan umur termasuklah golongan djaman now.
Penampilan Didi Kempot di acara Synchronize Festival menunjukkan anak muda sangat menyukainya. Keadaan ini secara tidak langsung juga menggambarkan kemungkinan generasi ini untuk meneroka identiti mereka dalam dunia yang semakin moden.
Apatah lagi, lagu-lagu Didi Kempot berlatar belakangkan kehidupan seharian dan dekat dengan masyarakat. Contohnya, Stasiun Balapan, Pantai Klayar, Terminal Tirtonadi dan Tanjung Mas Ninggal Janji.
Perjalanan seni Didi Kempot sendiri bermula dari jalanan pada tahun 1984. Dia merupakan seorang pengamen yang tergabung dalam kumpulan Kempot atau Kelompok Pengamen Trotoar.
Masyarakat patriarki tidak hanya menjejaskan perempuan, sebaliknya juga memaksa lelaki untuk berperilaku dengan cara tertentu. Jawa juga kental dengan tradisi patriarki.
Lelaki tidak boleh menangis, mesti kuat, perkasa dan maskulin; manakala perempuan, dipandang sebagai individu lemah dan tidak berdaya. Demikian pun, Didi Kempot berjaya mengikis stigma ‘boys don’t cry’ masyarakat Jawa ini.
Konsertnya di mana-mana sahaja pasti akan ada lelaki menangis. Tangisan ini tangisan jujur. Persembahan Didi Kempot membuktikan bahawa lelaki juga memiliki perasaan sama seperti semasa perempuan sedang patah hati.
Maka dengan demikian, karya-karya Didi Kempot seolah-olah mempunyai mesej tersirat tentang keberanian menunjukkan sikap dan kesamaan. Tambahan pula, menjadi diri sendiri, kesamaan dan kolektivisme adalah hal lazim dalam satu-satu sub-budaya.
Ketika tidak ada kejelasan daripada pemerintah untuk menangani wabak COVID-19, Didi Kempot sudah bertindak lebih cepat. Pada 11 April 2020, Didi Kempot mengadakan Konser Amal dari Rumah.
Hasil kutipan dari konsert itu sangat mengagumkan, Rp7,6 Milliyar, atau sekitar RM2 juta lebih. Sumbangan ini kemudiannya diagihkan dalam bentuk bantuan keperluan asas kepada rakyat bawahan yang memerlukan.
Didi Kempot juga meminta sobat ambyar supaya tidak pulang ke kampung halaman untuk mencegah penularan virus. Pada masa sama, pemerintah pula bermain-main dengan perbezaan antara istilah mudik dengan pulang kampung.
Didi Kempot bukan sahaja menghasilkan lagu cinta. Terdapat sejumlah lagunya yang memiliki kritikan sosial. Contohnya, Bakso Sarjana, Pak KPK (Ada Orang Korupsi) dan Bapak Gubernur.
Lirik lagu sebagai sebuah teks dan makna adalah representasi sosial yang dialami oleh penciptanya atau berdasarkan keadaan sekeliling. Pada akhirnya, karya-karya Didi Kempot yang dahulunya mungkin dianggap genre muzik tidak berkelas atau kampungan, sekarang berada dalam kelas tersendiri.
Karyanya adalah muzik rakyat. Pesanan Didi Kempot, “patah hati rasah ditangisi, tapi nek perlu justru dijogeti” (patah hati tidak perlu ditangisi, tetapi kalau perlu justeru dijogeti sahaja).
Didi Kempot meninggal dunia pada 5 Mei 2020. Sobat ambyar kini menjadi lebih ambyar.
Wis kebacut ambyar remuk sing ning ati
(Sudah terlanjur hancur lebih yang ada di hati)
Apa ngene iki sing jenenge korban janji?
(Apa begini yang namanya korban janji?)
Wis ambyar aku kudu kepiye?
(Sudah hancur aku harus bagaimana?)
- Ambyar – Perkataan ‘ambyar’ berasal daripada bahasa Jawa yang bermaksud berpisah-pisah. Maka, makna ambyar diperhalusi lagi sebagai kesedihan yang mendalam
- Campursari – Genre muzik yang mencampurkan elemen keroncong, gamelan, dangdut dan moden
- Djaman now – Kiasan kepada gaya hidup anak-anak zaman sekarang yang dilengkapi dengan peralatan yg termoden
- Pengamen – Penghibur jalanan
- Mudik – Pulang kampung
Sharifah Nursyahidah merupakan pensyarah sains politik di Universiti Kebangsaan Malaysia yang meminati penyelidikan dalam politik budaya dan gerakan buruh. Telah menulis beberapa buku dan artikel antaranya "Punk, Penentangan dan Politik Transnasionalisme” dan “Raver dan Hipster: Ekspresi Sub-Budaya Remaja di Kuala Lumpur”.
Foto ihsan Google
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.