Kalau disebut kugiran Queen, semua orang akan segera terbayangkan vokalisnya Freddie Mercury. Vokal empat oktafnya telah berdekad menjadi simbol buat penggemar muzik Queen. Seperti kebanyakan kugiran lain – biar pun berdekad menjuarai carta, kecuali bagi peminat sejati; mungkin tidak ramai yang akan ambil pusing ahli selain dari vokalis atau gitaris utamanya.
Nah, di sebalik vokal berhantu Freddie Mercury dan pekikan gitar nyaring Brian May, terselindung dari pendengaran kasar adalah elemen penting dalam komposisi muzik Queen - lantunan dari bass petikan John Deacon.
John Deacon lahir pada 19 Ogos 1951 di Leceister. Anak sulung kepada pasangan penjual insurans Arthur Henry dan pasangannya Lilian Molly Deacon ini membesar di Leceister sehingga mereka berpindah ke Oadby pada tahun 1960.
Seperti anggota Queen yang lain – sisi lain John Deacon sebenarnya adalah minat beliau dalam bidang elektronik, terutamanya ketika beliau bersekolah di Gartree High School, sekolah kedua beliau selepas Linden Junior.
Masa lapangnya dihabiskan dengan membaca buku dan majalah berkaitan elektronik. Selain itu, beliau turut membina beberapa peralatan kecil elektronik seperti alat perakam yang merakam lagu secara terus daripada radio.
Karier muzik beliau hanya bermula apabila beliau menyertai sebuah kugiran ketika berusia 14 tahun. Kugiran pertama Deacon yang waktu itu lebih dikenali sebagai ‘Deaks’ atau ‘Deaky’ dalam kalangan rakan-rakan beliau adalah ‘The Opposition’. Dan tidak, alatan pertama beliau adalah gitar rhythm. Beliau hanya mula menukar posisinya sebagai pemain bass selepas pemain bass asal kugiran tersebut dipecat.
Melawan stereotaip anak-anak muda melawan yang terlibat dalam muzik, Deacon cemerlang dalam pelajaran. Selepas tamat O-Level, ahli Queen yang pendiam ini meneruskan lagi pelajarannya di Grammar School Beauchamp dan selanjutnya di Chelsea College, London sehingga selesai Ijazah Kelas Pertama pada tahun 1971.
Sewaktu meneruskan pengajian di London, beliau meninggalkan The Opposition untuk menumpukan perhatian kepada pengajian. Tidak bertahan lama, sememangnya muzik adalah dadah buat beliau. Di Chelsea College, beliau menubuhkan kugiran lain – dengan nama paling tidak komersial; ‘Deacon’. Hanya satu persembahan sahaja yang pernah terakam - di kolej beliau sendiri pada 1970.
Sejarahnya bersama Queen bermula pada 1971, selepas bertemu dengan Brian May dan Roger Taylor yang ketika itu telah pun menubuhkan Queen dan sedang mencari pemain bass baharu. Beberapa hari setelah bertemu, Deacon menghadiri uji bakat yang diadakan.
Bagaimana Deacon terpilih? Selain bakat bermain bass, pengetahuan dalam bidang muzik dan juga kemahiran elektrik – antara kriteria lain adalah sikapnya yang pendiam. Queen memerlukan seorang pendamai dalam ribut yang sering ditimbulkan terutama sekali Freddie dan Roger Taylor. Persembahan pertama bersama Queen oleh Deacon adalah pada Jun tahun tersebut.
Disember 1971, Queen merakamkan album pertama mereka ‘Queen’ dan nama beliau telah dikreditkan sebagai ‘Deacon John’ untuk kononnya kedengaran lebih menarik ketika diluncurkan pada 1973. Sosok pendiam ini hanya berani meminta untuk namanya diubah semula kepada ‘John Deacon’ setahun kemudian dalam album seterusnya, Queen 2 yang terbit pada 1974.
Album ketiga Queen, ‘Sheer Heart Attack’ merupakan album pertama di mana Deacon menulis sebuah lagu untuk dimuatkan sekali. Lagu berjudul ‘Misfire’ merupakan hasil tangan beliau yang pertama dimuatkan ke dalam album disamping ‘Stone Cold Crazy’ yang ditulis bersama ahli Queen yang lain.
Untuk satu tempoh, Deacon juga terpaksa menjadi pemain gitar sementara ketika gitaris mereka Brian May dimasukkan ke hospital akibat hepatitis ketika sesi rakaman album tersebut berlangsung. Tentulah ini tidak akan berlaku andai Freddie mampu bermain gitar sebaik teman-temannya yang lain.
1975, Queen melancarkan album keempat mereka ‘A Night at The Opera’ di mana lagu kedua tulisan beliau, ‘You’re My Bestfriend’ dimuatkan dalam album tersebut. Lagu ini ditulis untuk bakal isterinya ketika itu Veronica, dan kemudiannya dilancarkan sebagai single untuk album tersebut.
Selepas album ‘A Night at The Opera’, Deacon terus menjadi penyumbang lagu untuk album-album Queen yang seterusnya seperti ‘Spread Your Wings’ untuk album ‘News of The World’. Namun, tidak akan ada lagu lain dari Deacon yang boleh mengatasi kejayaan ‘Another One Bites the Dust’ yang muncul sebagai lagu kedua Queen menduduki tempat pertama di carta Billboard Hot 100 Amerika Syarikat.
Selain ‘Another One Bites the Dust’, Deacon terus dikenang sebagai penulis bagi lagu-lagu hit lain seperti ‘Need Your Loving Tonight’, ‘Under Pressure’, ‘Back Chat’ dan ‘I Want to Break Free’ yang terjual sebanyak 200,000 salinan di seluruh dunia. Kebanyakan lagu yang ditulis oleh beliau dipengaruhi oleh elemen muzik kegemarannya - ‘soul’ dan ‘motown’.
Umum mengetahui Deacon tidak pernah gemar menonjolkan dirinya, namun kematian Freddie Mercury telah menyebabkan Deacon secara drastik mengambil keputusan untuk mengurangkan aktivitinya dan hanya menyertai beberapa persembahan bersama Queen. Beliau beranggapan tiada sesiapa mampu menggantikan Freddie, dan ini turut menjadi sebab untuk beliau akhirnya terus bersara daripada Queen.
John Deacon sekarang menetap bersama isterinya Veronica Tetzlaff, di Putney, London. Mereka mempunyai enam orang anak hasil perkongsian hidup bersama. Deacon mungkin tidak semasyhur Freddie, namun beliau tetap adalah tulang belakang Queen yang tak ada ganti- seperti petikan bassnya.
Amar Afiq adalah seorang peminat kugiran Queen dan pasukan bola sepak Arsenal. Beliau merupakan mantan mahasiswa jurusan Sains dan Bahasa Inggeris, namun lebih berminat memerhatikan keanehan manusia.
Foto ihsan Google
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.