Baru-baru ini berputar di radio tengah malam, lagu berhantu zaman sekolah dahulu, My Heart Will Go On nyanyian Celine Dion. Fikiran terus terbayang epik cinta Rose DeWitt Bukater (Kate Winslet) dan Jack Dawson (Leonardo Dicaprio) dalam filem pecah panggung yang rasanya tak perlu diperkenalkan pun lagi.
Titanic arahan James Cameron mengungguli pelbagai anugerah sejak ditayangkan pada tahun 1997, dengan bertahun lama memegang rekod sebagai filem Hollywood dengan kutipan tertinggi sepanjang masa.
Ramai yang akan mengenang filem ini sebagai kisah cinta antara dua insan yang menyentuh hati. Namun di sebalik kisah cinta sedih berlatarkan lautan Atlantik itu, yang mahu dizahirkan adalah realiti pertembungan kelas sosial dalam masyarakat.
Kisah pertembungan kelas ini lazimnya disimbolkan melalui dua watak Romeo dan Julietnya - Rose DeWitt dan Jack Dawson. Rose DeWitt seorang gadis kelahiran bangsawan yang ingin dijodohkan kepada Caledon ‘Cal’ Hockley (Billy Zane), seorang hartawan; manakala Jack Dawson pula seorang pelukis miskin yang hanya mampu menaiki RMS Titanic selepas memenangi tiket kelas ketiga daripada sebuah permainan pakau di bar golongan kelas pekerja berdekatan pelabuhan.
Semua bermula bilamana Rose yang merasa rimas dikurung kehidupan kelas atasan, nekad menamatkan nyawanya dengan ditelan lautan Atlantik. Jack yang sedang meraikan nikmat yang mungkin datang hanya sekali seumur hidup itu, terlihat Rose yang cuba terjun dan segera menyelamatkannya. Bermulalah kisah cinta antara dua darjat yang dihambat dendam kesumat Cal.
Namun bukan kisah cinta antara Rose dan Jack yang menjadi persoalan untuk difikirkan, sebaliknya realiti kelas sosial yang muncul di tengah watak-watak sampingan filem tersebut yang sebenarnya menarik untuk lebih dibincangkan. Watak-watak pembantu dalam Titanic menjadi pemberi gambaran yang jelas kepada realiti kelas sosial termasuk pada hari ini.
Materialisme dan Social Climber
Dari mula lagi Cal memperlihatkan keegoan kelas atasannya apabila memperlekeh-lekehkan harga lukisan dari pelukis-pelukis terkenal sebagai bukanlah sebuah masalah – tiada harga yang terlalu mahal buat dirinya.
Cal juga berharap dengan menghadiahkan rantai bertatah berlian biru Heart of the Ocean yang amat rare, ia mampu membeli cinta Rose. Namun ternyata, hati Rose memilih Jack yang tidak mempunyai apa apa – menyebabkan Cal terguris ego dan mulai berdendam kesumat.
Ruth DeWitt (Frances Fisher), ibu kepada Rose beria ingin menjadikan Cal sebagai menantu. Sebagai watak social climber yang bermodalkan nama keturunannya, Ruth berharap perkahwinan Rose dengan Cal akan menjanjikan harta kekayaan yang dimiliki keluarga Cal diwarisi oleh Rose. Ini adalah rutin biasa bagi kelas bangsawan – jodoh orang-orang atasan; dan hanya dengan alasan demikian, Ruth melihat Jack sebagai melukut di tepi gantang sahaja.
Memahami Cal yang serba materialistik juga tidak sukar. Sebagai anak kepada taikun besi, Cal dibesarkan dalam keadaan yang selesa. Dapat semua yang diingini. Mungkin kerana itu Cal melihat setiap benda boleh dibeli dengan wang. Setiap benda datang dengan tanda harga.
Keegoan Cal ini tidak bertebing. Dalam kekalutan bencana yang sedang menimpa kapal pelayaran mereka, Cal masih cuba memuaskan hati sendiri; memfitnah Jack dengan mengarahkan pembantu peribadinya meletakkan rantai dalam baju pinjam yang dipakai Jack.
Tidak cukup dengan itu, Cal turut menghalang Jack dengan bersungguh-sungguh agar tidak dapat meninggalkan kapal yang sedang dimamah Lautan Atlantik itu. Pertimbangan untuk membunuh sebuah nyawa hanya kerana kekasih memilih orang lain bukan naluri yang manusiawi.
Semakin di penghujung cerita, semakin jelas sifat materialistik Cal apabila cuba merasuah salah seorang anak kapal yang menjaga bot kecemasan untuk menyediakan tempat buatnya dan Rose, walaupun masih ada ramai anak kecil dan orang tua yang belum dapat menaiki bot kecemasan.
Akhirnya, anak kapal yang menerima rasuah itu mencampakkan semula duit ke Cal dan menembak diri sendiri setelah tertembak mati seorang penumpang ketika keadaan huru-hara akibat tolak menolak yang berlaku.
Dalam bersesakan itu, Ruth si social climber pula masih meminta keutamaan diberikan mengikut kelas. Pada Ruth, kelas atasan lebih layak menaiki bot kecemasan berbanding kelas bawahan.
Hakikatnya, ketika menaiki Titanic, Ruth telah jatuh miskin selepas kematian suaminya. Hanyut dalam kemewahan hidup sebelum ini, membuatkan Ruth melihat harta dan kelas itu penentu darjat seseorang dan kerana hanyut juga sanggup digadainya kebahagiaan anak sendiri demi terus hidup dalam kemewahan.
Dunia Tanpa Kelas Bukan Utopia
Pertembungan kelas sosial yang berlaku di dalam Titanic ini seakan gambaran realiti hari ini. Mungkin tidak semua kelas atasan berperangai seperti Cal dan Ruth, yang memandang rendah dan menindas kelas bawahan, tetapi layanan keutamaan dan juga perlaksanaan undang-undang berbeza antara kelas bawahan dan atasan makin jelas terserlah hari demi hari berikutan pandemik yang melanda dunia.
Dan dalam khalayak kelas atasan sebenarnya juga masih wujud watak seperti Rose, individu yang menilai seseorang bukan dari harta dan wang.
Namun semua ini adalah atas individu, bukan sistem tersebut. Sistem masyarkat berkelas hanya akan terus mengekalkan penindasan seperti yang menjadi latar Titanic.
Penghormatan dan kepercayaan perlu didapatkan, bukan ditagih. Atau dalam bahasa Inggerisnya, “trust and respect must be earned, not asked for.”
Hati dan personaliti yang sepatutnya membentuk darjat seseorang di dalam sesebuah struktur masyarakat, sepertimana amalan yang menjadi penanda aras darjat di sisi Allah dalam Islam. Harta dan wang adalah sebagai ganjaran atas usaha kita semata-mata, dan punyai fungsi yang terhad setiapnya.
Watak seperti Jack tidak perlu dirungkai lagi. Majoriti dari kita hari ini mungkin boleh relate. Mempertahankan prinsip dan jati diri setiap masa - memandangkan itu sahajalah kemewahan terakhir yang ada.
Walaupun jika sedang punya masalah sendiri, masih lagi tidak berkira membantu orang lain semampunya. Kita faham bagaimana rasa di tempat mereka. Kerana kita juga adalah mereka.
Lihat sahajalah siapa yang selalunya akan berhenti di tengah hujan lebat untuk membantu pemandu lain yang kemalangan atau kerosakan kereta kalau bukan penunggang motorsikal.
Untuk mencapai masyarakat tanpa kelas di dunia tanpa sempadan hari ini, kesedaran perlu datang dari dalam setiap individu itu sendiri sebelum dikolektifkan.
Ia bukan utopia seperti gambaran yang selalunya dikaitkan dengan dunia tanpa kelas, di mana tiada langsung penanda aras darjat atau seumpamanya.
Darjat biarlah diusahakan melalui hati dan personaliti kita. Darjat kita juga berbeza untuk setiap individu yang kita ketemu. Bukan melalui pangkat, harta atau wang, tetapi melalui hati, supaya di akhirnya, kita tidak menjadi seperti Cal dan Ruth yang berlalu pergi tanpa Rose di sisi dan kehilangan semuanya.
Amir Halim adalah seorang pereka grafik yang suka mencari perkara baru untuk dipelajari dan diaplikasikan dalam kehidupan sehari-hari.
Foto: Pinterest/Paramount Pictures
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.