Filem Sully diungkit semula baru-baru ini. Filem yang berdasarkan kisah benar ini menceritakan bagaimana keputusan Kapten Sully untuk mendarat di permukaan Sungai Hudson selepas bertembung dengan sekawan burung (yang mengakibatkan kerosakan enjin pesawat). Beliau telah menyelamatkan 155 orang penumpang bersama krewnya.
Kapten Sully dinobatkan sebagai wira oleh media sebelum badan penyiasatan mempertikaikan keputusannya. Simulasi dijalankan untuk menunjukkan bahawa Kapten Sully masih sempat mendarat di lapangan terbang berdekatan pada ketika itu. Dengan kata lain, Kapten Sully mungkin telah melakukan satu kesilapan yang jikalau berjaya dibuktikan, boleh menamatkan kerjaya penerbangannya, malah hilang duit pencennya.
Ketika tampil membela dirinya, Kapten Sully mengingatkan bahawa andaian badan penyiasatan tidak mengambil kira faktor “kemanusiaan” yakni kapten bersama pembantunya tidak pernah berdepan dengan situasi tersebut sepanjang hayat mereka. Mereka bukan robot tetapi manusia yang membuat keputusan berdasarkan emosi dan pengalaman diri ketika berdepan dengan saat-saat genting.
Sebaliknya, simulasi dijalankan setelah kesudahan kejadian tersebut diketahui, malah boleh diulangi berkali-kali untuk mencapai hasil yang ingin ditemui. Badan penyiasatan kemudiannya bersetuju untuk memberi ruang tempoh 35 saat, sebagai masa yang diambil untuk kapten memberi reaksinya terhadap situasi tersebut. Simulasi dijalankan semula, berakhir dengan kegagalan pesawat mendarat di mana-mana lapangan terbang berdekatan.
Kesimpulannya, Kapten Sully telah membuat keputusan yang betul meskipun berisiko ketika menjalankan tugasnya pada 15 Januari 2009.
Senario yang berbeza
Sesungguhnya, kesudahan ini dianggap “sempurna” kerana Kapten Sully berjaya membuktikan bahawa dirinya telah membuat keputusan yang tepat mengikut kepakarannya dan berakhir tanpa kehilangan nyawa atau kecederaan parah. Cuba kita bayangkan beberapa senario yang mungkin berlaku di luar jangkaan atau tidak sebagaimana yang kita harapkan.
Pertama, bagaimana andainya simulasi yang dibuat dengan mengambil kira tempoh 35 saat untuk reaksi manusia itu (terkejut, keraguan, tertekan, fikiran berserabut dan sebagainya), masih menunjukkan bahawa pesawat itu sempat mendarat di lapangan terbang?
Kedua, bagaimana andainya sebahagian daripada 155 penumpang dan krew terbunuh, atau cedera parah akibat pendaratan atas permukaan Sungai Hudson? Atau, bagaimana andainya pesawat itu melanggar kapal yang sedang menggunakan jalan perairan di Sungai Hudson?
Perbincangan yang rasional
Moga tiada pembaca yang mengadu kerana terlalu banyak “andaian” dilontarkan. Senario yang mungkin berlaku ini dibangkitkan untuk perbincangan lebih mendalam. Sudah tentu situasinya bertambah rumit, kerana masing-masing berada di kedudukan yang berbeza, mewakili kepentingan yang berlainan tetapi sama-sama menuntut agar keadilan ditegakkan untuk diri mereka.
Apapun, saya yakin persoalan-persoalan ini boleh dirungkaikan, meskipun gagal memenuhi keperluan dan tuntutan semua pihak.
Pertama, untuk Kapten Sully, tidak adil seorang juruterbang yang menyempurnakan misinya menghantar jutaan penumpang ke destinasi dengan selamat sepanjang hayat kerjayanya, dinilai dengan 208 saat penerbangan terakhirnya.
Tidak pernah Kapten Sully berdepan dengan insiden sedemikian dan beliau memerah segala kepakaran dan pengalamannya dalam tempoh yang singkat dan terdesak untuk membuat satu keputusan yang menentukan hidup mati 155 nyawa, termasuk dirinya. Sudah tentu Kapten Sully tidak terelak daripada membuat keputusan yang salah tetapi apakah itu kesilapan yang disengajakan? Tidak. Kapten Sully tidak harus dilihat sebagai orang jahat yang perlu dihukum seberat-beratnya sungguhpun mengakibatkan kecederaan atau kematian penumpang dalam kes ini.
Cuma, tidak adil juga untuk penumpang pesawat dan orang awam andainya kesemua kesilapan yang tidak disengajakan itu diberi laluan mudah tanpa dipertanggungjawabkan. Sudah tentu kita bimbang jikalau “kelonggaran” ini diambil kesempatan oleh sesetengah orang untuk menjalankan tugas secara sambil lewa. Ini kerana tidak mudah untuk membuktikan dalam mahkamah sama ada seseorang itu “sengaja atau tidak” ketika melakukan kesilapan.
Lebih-lebih lagi, apabila seseorang diserahkan misi sebesar itu, maknanya dia juga memikul tanggungjawab yang datang bersama. Itu sebabnya mereka dilatih, diuji berkali-kali bagi memastikan mereka benar-benar berkelayakan dan berkemampuan untuk menggalas misi tersebut. Apatah lagi, mereka diberi ganjaran yang setimpal dengan kepakarannya.
Kedua, sidang pendengaran yang diadakan badan penyiasatan itu adalah penting walaupun mungkin dilihat sebagai “sengaja mencari kesilapan manusia” dalam filem Sully. Ini kerana di situlah segala keraguan cuba dirungkaikan sebaik mungkin. Di samping mengenal pasti sama ada Kapten Sully bersalah atau tidak, siasatan tersebut mendedahkan apa sebenarnya yang berlaku dalam kejadian itu kepada masyarakat umum.
Hasil dapatan siasatan boleh dijadikan rujukan, bagaimana kejadian yang sama boleh dielakkan pada masa depan; apakah punca yang menyumbang kepada kejadian tersebut dan sebagainya. Kita harus yakin, bahawa perbincangan yang bersandarkan fakta, lebih mendekatkan kita kepada kebenaran berbanding sembang kosong yang berasaskan berita palsu.
Kes Sam Ke Ting
Mungkin kita lebih tenang, waras dan rasional ketika membincangkan kes Kapten Sully. Apa yang dipersetujui sungguhpun beliau melakukan kesilapan, beliau tetap bukan orang jahat yang harus dimusuhi. Namun pada masa yang sama, beliau memikul tanggungjawab tertentu. Jikalau ada penumpang atau pihak lain yang terbunuh atau tercedera lantaran “kesilapan” Kapten Sully, mereka berhak menuntut keadilan tetapi Kapten Sully juga berhak untuk membela dirinya.
Bayangkan, andai kita mengambil sikap ini untuk membincangkan kes Sam Ke Ting, malah kes mahkamah yang lain, bukankah langkah ini lebih membina?
Dalam kes Sam Ke Ting, tiada sesiapa yang mahu kejadian itu berlaku sama ada Sam, remaja berbasikal lajak mahupun ibu bapa remaja tersebut. Apakah Sam melakukan kesilapan? Kita serah kepada kebijaksanaan hakim. Apakah Sam harus dilihat sebagai “orang jahat” jikapun didapati bersalah? Tidak juga, sekurang-kurangnya untuk saya. Apakah Sam tidak menghormati mahkamah jikalau dia merayu? Tidak, sebab semua tertuduh berhak menggunakan segala saluran yang ada untuk membela dirinya. Sam berhak, Anwar Ibrahim berhak, malah Najib Razak pun berhak untuk berbuat demikian.
Jikalau kita meninjau kes-kes mahkamah dari perspektif ini, tanpa dipengaruhi sentimen perkauman dan faktor yang lain, kita akan lebih rasional. Zaman televisyen hitam putih telah jauh meninggalkan kita, malah kita bukan lagi kanak-kanak yang tertarik dengan pertembungan Ultraman dengan raksasa (baca: yang baik lawan yang jahat). Kita sudah cukup dewasa untuk menyedari betapa rumitnya dunia ini. Dalam putih adanya bintik hitam, dalam hitam ada pula tompok putih bahkan kebanyakan masanya, kelabu.
Prinsipnya, seseorang tidak bersalah sehingga terbukti bersalah. Walaupun bersalah, dia seharusnya dihukum mengikut undang-undang sedia ada. Peranan peguam bela adalah untuk memastikan anak guamnya tidak dihukum lebih berat daripada kesalahan yang dilakukan. Pesalah memiliki hak asasi juga walaupun pernah melakukan kesalahan. Pesalah tidak harus dinafikan terus hanya berdasarkan satu kesilapan yang dilakukan dalam hidupnya.
Harus kita sedar, bahawa dalam kes jenayah, tertuduh memiliki kelebihan jikalau berjaya membangkitkan keraguan munasabah kerana kita cuba mengelakkan situasi yakni mereka yang tidak berdosa dihukum. Dalam keadaan ini, ada kalanya mereka yang berdosa terlepas daripada hukuman. Apakah sistem ini sempurna? Tidak. Tetapi andai kata kita terlalu ketat sehingga tersalah hukum mereka yang tidak berdosa, hal ini tidak menyumbang kepada kesempurnaan sistem juga.
Demikianlah realitinya. Kemalangan berlaku dan malang tidak berbau. Sudah tentu semua manusia dipertanggungjawabkan atas tindak tanduk mereka, namun masalah hanya selesai andai kata punca sebenar dikenal pasti. Kita semua sebahagian daripada sistem, sepatutnya saling melengkapi untuk menambah baik sistem ini. Jikalau masalah boleh diselesaikan dengan dendam kesumat, mengapa kita semakin bermasalah?
Lim Hong Siang adalah Pengarah Eksekutif Penyelidikan Sosio-Budaya SAUDARA. Kini, kolumnis di Malaysiakini, Malaysia Dateline, Oriental Daily dan sebagainya.
Foto: NurulZayani.com
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.