Cinta dan Bunga Nan Biru

Cinta dan Bunga Nan Biru

Jam tujuh pagi aku masuk pejabat, awal hari ini. Lengang, jalan raya tidak sesak. Aku pun duduk di ruang kerja, namun fikiran masih melayang. Memikirkan tentang kehidupan yang perlu ditempuhi.

“Semalam kau bercerita tentang Novalis dan Bunga Biru. Bunga Biru maksudnya cinta, keinginan, metafizikal dan permana. Kau tahu tak, aku dari kecil suka melukis rama-rama biru?”

Itu Nisrin yang bercakap, rakan sekerja aku. Awal dia sampai di pejabat berbanding aku rupanya. Apa yang ditanyanya itu rentetan perbualan kami semalam – kisah Novalis dan novel yang tidak sempat disiapkannya – kisah tentang seorang pemuda yang bermimpikan Bunga Biru dan cuba mencarinya di dunia nyata.

Dia menyambung lagi “Aku baca di internet, rama-rama biru pun bermaksud cinta. Mungkin aku ada persamaan dengan Novalis yang kau cakapkan itu.” Nisrin tersenyum sendirian, tetapi aku boleh melihatnya.

“Novalis dan tunangnya Sophie, mereka berdua meninggal akibat wabak putih atau TB. Sangat tragik, sedih. Tetapi kematian pasangan itu semakin menginspirasikan kisah Bunga Biru dan Romantisisme. Jadi aku rasa tak perlulah ada persamaan kau dengan Novalis.” Aku membalas, namun menyambung lagi “Tapi kenapa kau minat rama-rama biru?”

“Seingat aku, rama-rama biru adalah lukisan pertama yang emak aku ajar. Memori itu sangat kuat dan segar. Aku suka melukisnya sehinggalah sekarang. Aku anggap itu umpama mengenang kasih antara aku dengan emak.” Nisrin seumpama mengimbau jauh. 

Rama-rama biru itu umpama kasih sejati dia kepada ibunya. Mungkin sama seperti Bunga Biru yang menjadi lambang cinta Novalis terhadap Sophie. Cinta dan kasih sayang memang menjadi tema utama dalam kehidupan manusia. Bukan sekadar cinta pasangan kekasih, tetapi ia bermaksud kasih sayang sesama manusia, kasih sayang kekeluargaan dan sebagainya.

Di dalam Bahasa Inggeris – kasih, sayang dan cinta – biasanya dimaknai dengan satu perkataan sahaja iaitu ‘love’. Namun ‘love’ mempunyai banyak kategori. Banyak terpengaruh dengan tradisi dan bahasa Yunani cinta dibahagikan kepada ‘agape’, ‘eros’, ‘philia’, ‘philautia’, ‘xenia’ dan’ storge’.

“Kasih emak dan ayah kepada anak dan sebaliknya adalah cinta yang lahir dari perasaan empati. Saling berkongsi. Yang terdorong dan lahir kerana ihsan.” Tiba-tiba aku berkata-kata, tanpa aku sendiri sangka. Aku cuma ingin berbisik dalam hati sahaja sebenarnya.

“Jadi bagaimana dengan cinta Novalis kepada Sophie dan couple yang lain-lain? Itu cinta apa? Kasih yang bagaimana?” balas rakan sekerja aku itu.

“Cinta kekasih itu lebih ‘hangat’, betul tak? Lebih bergelora, teruja, berkeinginan. Tapi kasih sayang kekeluargaan lebih ‘sejuk’ dan ‘nyaman’. Lebih menenangkan. Begitulah rasanya.”

Tetapi Nisrin tidak terhenti dengan jawapan aku. Rautnya masih penuh tanda tanya. “Jadi cinta ‘hangat’ pasangan kekasih menjadi kasih ‘sejuk’ dan ‘nyaman’ lepas mereka berkahwin. Macam tu maksud kau?”

Persoalan yang dikemukakan oleh Nisrin itu agak menarik. Cinta pasangan yang berkasih dikategorikan sebagai ‘eros’ bersempena nama Dewa Cinta dalam mitos Yunani atau lebih dikenali sebagai Cupid di dalam mitos masyarakat Rom. Cinta kekeluargaan pula dikategorikan sebagai ‘storge’

Lalu bagaimana cinta dan kasih daripada ‘eros’ bertukar menjadi ‘storge’ bagi pasangan kekasih yang telah berkahwin? Jika direnung Surah Ar-Rum ayat 21 bermaksud “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” 

Di dalam surah ini Allah menekankan perkataan ‘kasih sayang’ (mawaddah) dan diikuti perkataan ‘belas kasihan’ (rahmah). Ini seumpama syarat bahawa pasangan suami isteri itu didahului perasaan kasih sayang yang boleh disamakan dengan ‘eros’. Kemudiannya diikuti oleh perasan belas kasihan yang boleh diibaratkan sebagai ‘storge’.

Dialog aku dan Nisrin terhenti sebentar. Aku merenung jam di dinding, baru lima belas minit melepasi jam tujuh. Masa untuk bekerja masih belum bermula. Maksudnya aku masih sempat untuk sarapan kuih yang aku beli dalam perjalanan untuk ke pejabat tadi. Tetapi hati aku seperti ketidakpastian dan rasanya seumpama perbualan sebentar tadi tidak sepatutnya berakhir.

“Macam mana pula perasaan cinta kepada Tuhan? Ianya mendamaikan dan tenteram. Seumpama cinta kekeluargaan juga.” Nisrin memulakan kembali apa yang belum selesai. Hati aku seumpama lega. Entah kenapa.

“Cinta kepada Tuhan sememangnya mendamaikan. Tapi Tuhan tak memerlukan belas kasihan manusia seperti cinta kekeluargaan. Sebaliknya manusia yang mendambakan ihsan Tuhannya.” Aku berhenti sebentar sebelum menyambung kembali.

“Aku pernah terbaca kisah seorang sufi. Namanya Ibrahim bin Adham. Asalnya seorang raja namun meninggalkan segenap kemewahan, kerajaan dan isterinya selepas dia mengembara ke Mekah. Begitulah cintanya kepada Tuhan. Dia tenteram dan damai sehingga keasyikan.”

Keasyikan dan cinta kepada Tuhan ini tidak diungkap secara mendalam di dalam tradisi Yunani. Asyik ialah perkataan yang berasal daripada Bahasa Arab iaitu ‘Ishq’ dan popular di dalam tradisi sufi. Ibrahim Bin Adham pernah menyatakan rasa cintanya kepada Tuhan di dalam puisi:

“Semua makhluk telah aku tinggalkan
Kerana cintaku kepada Engkau
Keluargaku aku biarkan jadi piatu
Agar aku dapat melihat wajahMu
Meskipun tubuh ini lantaran cinta
Akan dikerat dipotong-potong
Namun hati ini tidak akan berpaling
Kepada yang selain engkau.”
 
Nisrin berkata-kata lagi “Tetapi sudah pasti cinta Ibrahim Bin Adham itu tidak dapat melawan tingginya kecintaan Nabi terhadap Penciptanya itu.” Aku tidak pasti itu dialog Nisrin dengan aku atau dia bermonolog kepada dirinya sendiri?

“Tapi cinta Tuhan adalah yang paling agung” tambah aku. “Cinta tanpa syarat. Tanpa perlu dibalas. Dalam semesta ini, semua makhluk berada di dalam kasih sayang dan perlindunganNya.”

Di dalam tradisi Yunani, cinta dari Tuhan ini disebut ‘agape’. Sudah pastinya ini adalah cinta teragung dan yang paling tinggi. Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

“Selain daripada itu, apa lagi jenis-jenis dan perbezaan perasaan cinta dan kasih sayang? Kalau kasih sesama sahabat? Sebab kasih kekeluargaan bentuknya dari atas ke bawah dan dari bawah ke atas. Cinta Tuhan pula dari atas ke bawah. Cinta hamba kepada Tuhan pula dari bawah ke atas. Tapi kasih sesama sahabat lebih setara, semacam lebih kepada budi” rakan aku yang seorang ini melanjutkan perbincangan.

Aku menyambut “betul juga ya. Dalam persahabatan, kita merasa lebih saling menghormati.”

Kesaksamaan inilah yang membentuk keakraban dan ‘brotherhood’. Adakala keakraban itu sehingga melahirkan ‘clique’. Maka kesaksamaan dan keakraban dan inilah yang dikenali sebagai ‘philia’.

Aku meluahkan pendapat lagi “Rasanya sayang kepada tetamu juga adalah sebahagian daripada kategori cinta. Kau pernah dengar kisah Nabi Luth yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi menyelamatkan tetamunya daripada kaum Sadum? Aku rasa kita tidak boleh nafikan betapa tingginya cinta itu. Kalau tidak, takkanlah sampai sanggup mempertaruhkan nyawa. Selain itu, mungkin kasih kepada diri sendiri juga adalah cinta. Mestilah kita cintakan diri kita sendiri”

“Mungkin betul juga.” Nisrin bersuara, kemudian menambah “tapi cinta kepada diri sendiri itu, kalau tidak didorong dengan betul ia mungkin berubah kepada keegoan yang mementingkan diri sendiri semata-mata. Itu semacam melahirkan kebencian pula.”

Cinta kepada tetamu inilah yang dikategorikan sebagai ‘xenia’. Manakala cinta terhadap diri sendiri pula diungkapkan sebagai ‘philautia’. Itulah jenis-jenis, kategori dan martabat cinta yang luas. Cinta bukanlah semata-mata perasaan pasangan yang sedang hangat bermadu kasih. Cinta adalah milik semua manusia dan berhentilah membenci sesama insan. 

Jadilah seniman yang mencipta kasih sayang dalam mencontohi dan mengimani Tuhan. Seumpama Novalis yang menyimpan cinta di dalam Bunga Birunya. Seperti juga Nisrin yang mengimbau kasihnya dengan lukisan rama-rama biru.

Waktu kian menghampiri jam lapan. Tiba masanya untuk bercinta dengan kerja. 

"Forget Me Not."

Rizuan Abdul Hamid adalah seorang yang berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.

Foto hiasan ihsan Favim

Share this Post: