Insiden pencerobohon ke atas Capitol Hill pada Rabu lalu sudah pasti sangat mengejutkan kerana ia bukan sebuah rakaman sejarah yang berlaku di bangunan biasa-biasa, ia berlaku di bangunan yang maha penting buat sistem pentadbiran Amerika Syarikat (AS), persis bangunan Parlimen kita di Malaysia. Bangunan megah berkubah besar yang berusia lebih 200 tahun itu merupakan simbol demokrasi Negara Uncle Sam tersebut.
Bangunan yang diberi nama United States Capitol itu sering digelar sebagai Capitol Building atau Capitol Hill bersempena dengan tempat ianya dibina iaitu Capitol Hill, Washington D.C.. Kali terakhir bangunan ini diceroboh adalah pada 1814 oleh tentera British, ketika Perang 1812 antara Amerika Syarikat dan kolonial British.
Oleh kerana itu banyak pihak berpendapat bahawa insiden pencerobohan ke atas Capitol Hill oleh penyokong-penyokong Presiden yang bakal meninggalkan Rumah Putih - Donald Trump - adalah ancaman terhadap sistem demokrasi Amerika Syarikat. Ini adalah ancaman yang serius kerana Amerika Syarikat sentiasa berbangga dengan sistem demokrasi mereka.
Selepas insiden tersebut sidang kongres akhirnya tetap mengabsahkan kemenangan Joe Biden dan menggagalkan usaha penyokong Trump untuk menghalang sidang tersebut. Walaupun Trump akhirnya akur akan kekalahannya terhadap Joe Biden dan mengutuk insiden serangan dan pencerobohan tersebut, ia sudah terlambat. Yang lebih menyedihkan, ia turut mengorbankan lima nyawa.
Walaupun Trump mengutuk insiden hitam tersebut namun ramai ahli politik dan pembuat undang-undang daripada parti Democrat malah parti yang diwakilinya sendiri iaitu Republican menyalahkan beliau sebagai punca utama insiden tersebut. Beberapa orang pegawai pentadbiran Trump di White House termasuk juga pegawai kepada Wanita Pertama (Melania Trump) turut meletakkan jawatan rentetan insiden tersebut.
Selepas kiraan awal yang jelas menyebelahi Biden, Trump berterusan dengan sikap keras kepala dan tidak mahu menerima keputusan pilihanraya malah menuduh pihak berkuasa yang terlibat dengan penipuan - biarpun ianya tidak dapat dibuktikan malah ditolak oleh mahkamah. Tambah merumitkan keadaan adalah apabila berlaku kelewatan pengiraan undian yang menambahkan minyak ke atas api kemarahan Trump dan para penyokongnya.
Trump tidak mungkin dapat lari atau mengelak dari dipertanggungjawabkan. Beberapa jam sebelum insiden rusuhan tersebut, Trump jelas kedengaran menyampaikan ucapan kepada para penyokongnya yang memenuhi jalanan Washington D.C. dan Ellipse Park, berhampiran White House. Dengan jelas dan tanpa sedikit pun berselindung, Trump dirakam mengeluarkan hasutan untuk mengajak para penyokongnya berarak dan pergi ke Capitol Hill untuk menunjuk perasaan dan membantah sidang pengesahan keputusan pilihan raya lalu.
Trump bukan ahli politik konvensional, beliau adalah seorang outsider yang tidak bermain mengikut peraturan dan resam politik biasa Washington. Sekalipun itu adalah daya tarikan beliau, tidak boleh juga dinafikan kalau bukan semata pendekatan politik - sikap peribadinya juga tidak dilihat mengikut norma seorang kepala negara.
Trump terkenal dengan sikap biadap dan hooliganisme yang banyak menyebabkan kesukaran buat pentadbiran dan pasukan kempennya. Ketika kempen pilihanraya Presiden Amerika berlangsung misalnya, selain memperlecehkan ancaman pandemik biar pun dirinya sendiri pernah dijangkiti, Trump juga gemar membuat tuduhan tidak berasas terhadap China mengenai isu Covid-19 demi meraih sokongan terhadap kempen pilihanraya. Ini antara imej yang menarik jenis penyokong yang bersamanya - tidak beralaskan fakta kukuh dalam bercakap dan berfikir, selain gemar berteori konspirasi mengatasi rasional dan logik.
Selepas berbulan lama mengalih perhatian masyarakat daripada kegagalan pentadbirannya membendung pandemik dengan memainkan sentimen-sentimen yang mengapi-apikan ekstremism terutama Kulit Putih, peristiwa pencerobohan ke atas Capitol Hill akhirnya menjadi cerminan dan manifestasi terhadap sikap Trump serta pasukannya.
Lebih tepat lagi, ia bukanlah rentetan daripada peristiwa beberapa hari atau beberapa bulan kebelakangan ini, sebaliknya telah dipupuk bertahun-tahun lagi. Amerika Syarikat di bawah Trump menjadi lubuk kebangkitan semula pandangan dan tindakan-tindakan ekstrem anti-demokrasi dan kebebasan, seksisme, xenophobia, serta rasisme sistemik yang selama ini terpendam lama.
Persoalannya, apakah peristiwa Capitol Hill akan menjadi kemuncak dan penamat kepada hooliganisme politik yang dipelopori oleh Donald Trump atau mereka masih belum mahu berhenti dan menyedari kesilapan mereka?
Hooliganisme politik sebegini harus dihentikan daripada merebak dan harus ditolak. Sejarah mengajar bagaimana lama sebelum Capitol Hill diceroboh, tangga utama bangunan Reischstag iaitu parlimen Negara Jerman yang juga adalah lambang demokrasi negara tersebut pernah juga menjadi medan protes golongan ekstremis.
Jangan juga terkeliru. Ini bukan menyeru kepada pemandulan terhadap budaya dan hak kebebasan bersuara. Selagi suara bantahan itu aman dan kekal berhentam dalam kerangka demokrasi serta masih dibatasi undang-undang yang rasional, silakanlah!
Rizuan Abdul Hamid adalah seorang yang berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.
Foto hiasan ihsan Leah Millis, sumber Reuters
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.