‘’I have failed as a father.”
Seketika aku menatap skrin komputer dengan tatapan yang kosong dan otak ligat menterjemah perkataan yang mewarnai lensa mata ketika ini ke dalam bahasa yang lebih mudah difahami.
Saya telah gagal sebagai seorang ayah.
Seperti sekilas cahaya petir yang menyinggah sebelum berdentum gemuruh guruh di langit, hatiku direntap dengan dua perkataan di situ; gagal dan ayah. Ah, ini sangat mengoyakkan emosi.
Saya telah gagal sebagai seorang ayah.
Apa lagi yang lebih menggagalkan buat seorang ayah yang mengaku dengan lidahnya sendiri, tanpa desakan sesiapa, bahawa dia telah gagal menjalani kehidupannya membawa tanggungjawab sebagai seorang ayah? Walaupun tidak dapat dikesan keseluruhan wajahnya kerana dilitupi pelitup muka, matanya jelas menampakkan ketidakmampuan untuk menanggung tanggungjawab itu, tanggungjawab sebagai seorang ayah.
Kegagalan yang diakuinya sendiri di belakang kibaran bendera putih itu seperti yang aku katakan tadi adalah dibuat dengan kemahuan sendiri, tanpa desakan manusiawi. Tetapi, dia diasak dari segenap penjuru, kehabisan akal dan kudrat sebagai seorang ayah yang terputus pencarian rezeki kerana penyakit bedebah yang satu ini. Jika ia dimanusiakan di akhirat kelak, akan kuminta pertanggungjawaban kerana membuatkan si ayah ini mengaku dirinya gagal, aku berharap agar Tuhan menimpakan ia dengan seksaan yang maha azab.
Nah, akan tetapi bukankah Tuhan juga yang mengizinkan penyakit ini merebak lantas memutuskan perjalanan rezeki sang ayah itu tadi? Kerja Tuhan tidak akan mampu untuk difahami manusia.
Berbalik kepada seorang ayah tadi yang telah mengakui kegagalannya dengan mengibarkan bendera putih setelah tiada pekerjaan lantaran wabak penyakit yang diberi nama COVID-19. Setahun lebih ia bermaharajalela, setahun lebih juga erti kemanusiaan diuji. Setahun lebih juga makna menjadi seorang ayah dicabar inti maksudnya.
Apa definisi gagal sebagai seorang ayah?
Bagi lelaki itu, ia bererti tiada pekerjaan untuk membeli barang keperluan bagi anak isterinya. Ini satu definisi yang aku kira sudah menjadi hukum alam pertama kerana lelaki itu sejak lahir, bahkan sejak diketahui jantinanya sebagai lelaki dalam kandungan ibunya, telah dihukum untuk menjadi sumber rezeki keluarganya kelak. Dia adalah tulang belakang keluarga. Tanpa lelaki, keluarga tidak akan mempunyai duit untuk makan. Tanpa lelaki, keluarga hilang fungsi. Isteri dan anak terbiar dengan takdir yang tidak menentu jika seorang ayah telah tiada. Itu adalah hukum alam yang azali dan jika ada lelaki yang hidup bertentangan dengan hukum ini, bukan dia yang membawa masuk rezeki ke dalam keluarganya, bukan dia yang menjadi punca melaratnya keluarga jika tiada pekerjaan, maka dia dikira dayus, biawak hidup dan memalukan salasilah keturunannya.
Atau mungkin gagal sebagai seorang ayah itu adalah lelaki yang kulihat pagi tadi. Berbongkok dia mengambil sehelai baju untuk dikeringkan di bawah sinaran mentari. Bagi dia, lelaki itu harus bangun pagi dan kalau sudah tiada pekerjaan atau bekerjanya di rumah dengan menanti panggilan Zoom di hadapan skrin komputer, maka masa paginya itu harus diisi dengan menyidai pakaian untuk dikeringkan. Di sini hukum alam terbelah kepada dua kerana ada yang juga berpendapat bahawa itu tugas sang isteri alias seorang ibu, tidak kira dia bekerja atau tidak bekerja. Apa guna simbiosis isteri sebagai suri rumah jika pekerjaan rumah tidak dia lakukan? Tetapi lelaki ini nyata tidak peduli akan ancaman belahan hukum alam yang satu ini. Apa beza pakaian yang disidai oleh seorang lelaki atau perempuan?
Atau bilakah seorang ayah itu mengakui dirinya gagal jika dia adalah ayah kepada lelaki yang aku lihat sedang terduduk di beranda rumah, kaku tidak bergerak dengan headphone menutupi telinganya dan jika diteka tepat, lelaki itu sedang menghadiri kelas dalam platform online? Menjadi ayah kepada anak yang sedang menginjak dewasa, menghabiskan umur awal 20-an dengan meniti masa di universiti. Jika dia tidak dapat memasukkan duit bulanan ke dalam akaun anak lelakinya itu, mungkin dia menganggap dirinya gagal. Anak itu, adalah pelaburan sepanjang hayat. Tak kira usianya sudah menginjak berapa, dia masih membawa nama ayahnya di mana sahaja dia pergi - seseorang itu wajib berbin atau berbintikan nama ayahnya.
Bagaimana pula dengan ayah aku sendiri? Selain daripada tiga hukum alam ini, menurutnya mungkin (kuletak mungkin di sini kerana aku tidak pernah bertanya soal ini secara rasmi kepada beliau) kegagalan itu adalah jika seorang ayah menitiskan air mata. Tidak kira apa pun sebabnya, kalau kau menangis, that’s it. Air mata itu harus kering dan tidak boleh dikeluarkan lagi setelah dirinya menjadi seorang ayah. Tiga dekad aku hidup di bumi ini, belum pernah sekalipun aku melihat air matanya menitis lalu merentasi kulit pipinya dan jatuh menyembah bumi. Paling nyaris detik bersejarah itu berlaku cuma dalam dua peristiwa: tahun 1996 dan dua puluh tiga tahun kemudian. Peristiwa pertama itu adalah wajahnya yang terakhir kali aku lihat sebelum bertemu dengannya setahun selepas itu- ayah bertugas sebagai salah seorang anggota peninjau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Sahara Barat. Kali kedua itu pula, saat ciuman terakhir dikucupkan ke atas dahi bonda yang telah bersih dimandikan, sebagai tanda perpisahan kekal di dunia ini setelah tiga puluh empat tahun hidup bersama.
Hukum alam yang keempat ini sungguh menentang fitrah seorang manusia yang kehadirannya di muka bumi ini dimulakan dengan tangisan. Bersambung tangisan itu dalam hari-hari berikutnya sebagai seorang bayi, kanak-kanak dan ketika dia sudah faham maksud berkomunikasi, seperti Winter Soldier yang berubah dirinya jika mendengar perkataan-perkataan tertentu, maka seorang lelaki akan dijampi dengan empat perkataan ini agar otaknya tidak lagi mengeluarkan air mata dan dirinya berubah menjadi seorang lelaki yang sejati: Real men don’t cry. Barang siapa yang mencipta jampi ini untuk pertama kali, aku berharap semoga dia diberi pertanggungjawaban yang berat di akhirat kelak kerana cuba membetulkan kejadian Maha Sempurna itu.
Apa pula definisi gagal untuk ayah seperti abang aku? Ah, tidak pula aku ingat untuk bertanya. Kami juga tidak selalu bercerita akan hal ini kerana hukum alam yang kelima juga berupa sebuah jampi yang kukira juga melawan fitrah sebagai seorang manusia kononnya perbuatan ini hanya lazim diamalkan oleh persatuan isteri semesta. Real men don’t talk about feelings. Soal seputar perasaan, emosi apatah lagi tanggungjawab seorang ayah bukan untuk dijadikan seperti satu bilik bercakap di Clubhouse. Yang harus menjadi isi air liur lelaki bergelar ayah ini, menurut hukum alam, ialah hal berkaitan pekerjaan, ekonomi yang menggila gawatnya, politikus yang terus mencicit tak ubah seperti tikus yang membaiki labu, dan kalau ada kesempatan, diselingkan impian untuk memperisterikan Cikgu Suraya sebagai isteri kedua.
***
Bagaimana pula dengan aku?
Barangkali ada sangkutnya dengan hukum alam keenam- seorang ayah perlu ada untuk anaknya tidak kira dalam apa jua keadaan sekalipun. Kalau sekalipun esok dunia akan kiamat, hari ini dia perlu ada dalam tatapan anaknya kerana apa guna menjadi seorang ayah jika tidak dikenali oleh anaknya sendiri. Hukum ini, telah secara rasmi aku gagal dengan jayanya selama sembilan bulan bermula dari penghujung Ogos 2019. Tiada memori yang dapat aku ingati sepanjang tempoh ini melainkan deruan air yang mencurah turun mengisi permukaan lantai bilik mandi setiap malam Jumaat dan keperitan yang dapat dirasai daripada lantunan suara Hattan dalam lagu Rendang Tak Berbuah bersama linangan air mata sekaligus melanggar hukum alam keempat. Dua kali lipat gagalnya dalam satu masa.
Tempoh gelap ini memang tidak diingati kewujudan anak yang sedang mencecah nafas setahun kerana waktu itu aku masih berada di dalam sebuah hospital, 12.27 tengah malam dan telinga yang hanya menangkap bunyi mesin bantuan pernafasan yang sudah mendatar bunyinya- di hadapanku terbaring sekujur badan yang kaku, tidak lagi berbolak balik dadanya dengan udara. Dua puluh sembilan tahun dan kini tiada lagi hari-hari seterusnya berisi dengan wajah dan suara pemilik badan ini. Sembilan bulan aku berada di sini- masa tidak bergerak walau sedetik pun hingga malam dan siang meragukan diri mereka sendiri- apa benar waktu telah berhenti bergulir untuk lelaki ini? Tidakkah dia peduli akan anaknya yang sedang mengenal kehidupan dan memerlukan ayahnya setiap masa yang dia perlukan?
Sementara itu, hukum alam ketujuh - yang dibikin oleh diriku sendiri sebagai seorang ayah yang bekerja di rumah dan anaknya bakal mengakhiri fasa dua bermasalah- terrible twos- melampiaskan amarah kepadanya yang berkeras mahu diluangkan masa dengannya sedangkan punggungku berkeras mahu dikakukan di atas kerusi supaya masa bekerja kekal melebihi tujuh jam. Atau amarah itu terhambur keluar dengan suara yang keras gempita kerana tangan digigit atau badan dipukul atau lariannya melangkaui kelajuan tangan untuk memakaikan pakaian setelah habis mandi. Hukum ini dengan bangganya menerima cadanganku agar ia digelar “hukum raksasa Ultraman”- datang ke bumi membuat onar, berteriak tidak tentu pasal sehingga penyelamat dunia datang dan membuat gerakan tangan yang mengeluarkan kuasa untuk mengalahkan raksasa tersebut- selalunya selepas lampu di tengah dadanya itu bertukar menjadi kelip merah. Anehnya hukum ini diukur kegagalannya jika seorang ayah itu menjadi Ultraman dengan mengeluarkan kuasa berupa amarah yang boleh membuatkan si anak mati tingkah dan menyangka sangkalala sudah ditiup. Sementara itu, kekalahan makhluk kenit ini dapat ditandai dengan tangisan yang meminta perlindungan daripada ibunya dan time out diberikan oleh diriku sendiri kepada diriku sendiri. Dalam hukum alam ini, tidak jelas siapa pemenangnya.
***
Sejenak kita tandai tujuh hukum alam ini dengan satu soalan.
Siapa.
Siapa yang mengadakan hukum alam sebegini untuk seorang ayah?
Tuhan? Tidak sejelas ini dalam kitab suciNya.
Ah pasti. Ini semua kerja sistem. Sistem yang dicipta daripada kehidupan bermasyarakat.
Nah soalan seterusnya. Siapa yang ada dalam sistem itu? Siapa masyarakat itu?
Kalau menurut seorang figura politikus di negara ini, jawapannya dibungkus dalam tiga perkataan: cermin diri sendiri.
Itulah masyarakat. Itulah sistem. Jika tidak seluruh tujuh hukum alam itu, sebahagian atau secebis daripadanya akan kita timpakan kepada seorang lelaki yang mempunyai anak. Hukuman demi hukuman ini, biarpun awalnya cuma secebis, akhirnya akan menumpuk tinggi sehingga seorang ayah itu tidak dapat melihat sejauh hari esok maka diakhiri nafasnya sendiri secara premature; itu jalan keluar terakhir untuk mengakhiri kekejaman hukuman yang diazabkan oleh sistem. Oleh masyarakat. Oleh yang ada di dalam cermin. Masih segar dalam peti memori akan sekujur badan yang kaku tidak bergerak dengan leher berjuntai di kawasan parkir membeli belah bersama nota terakhir minta anak-anaknya dijaga- itu adalah kegagalan fatal sebuah sistem, sebuah masyarakat yang didirikan oleh diri yang di dalam cermin itu kerana menuntun sang ayah membelit nafas terakhir dengan tangannya sendiri.
Demikianlah tujuh hukum alam ini- selagi ada ayah yang bertekur dengan fikiran untuk menghabisi kerja Malaikat Izrail, selagi itu hukum-hukum alam ini akan wujud dan sistem masyarakat akan buntu mencari jampi penawar penyelesaian sumpahan tujuh bersaudara ini.
Penyelesaian? Apakah akan ada perdamaian dengan mereka? Perdamaian? Bukankah hidup ini bersifat samsara; selagi hidup selagi itu sengsara menuruti. Buat sang ayah, selagi hidup selagi itu tujuh petala sengsara menghambat diri setiap kali mata dibuka, menghabiskan mimpi indah di malam hari.
Penyelesaian bukan itu yang ditawarkan dalam tulisan ini- sebaliknya penulis hanya ingin memafhumkan kepada seluruh isi dunia bahawa hukum alam tujuh beradik ini wujud untuk dipikul, dihadap dan diderakan kepada semua lelaki yang bergelar ayah. Jika kita cuba untuk membunuh mereka bererti kita juga cuba untuk membunuh sistem - membunuh sistem bererti membunuh masyarakat dan membunuh masyarakat adalah membunuh setiap wajah yang wujud di dalam cermin itu sendiri. Penerimaan - acceptance - itu yang cuba dihadapkan dalam penulisan ini. Penerimaan bahawa tujuh hukum alam ini wujud. Penerimaan bahawa hukum alam ini akan terus hidup selagi manusia itu wujud, selagi masyarakat itu tidak terhapus dan selagi sistem itu terus bergulir. Dan penerimaan itu harus menerima tantangan yang berupa sebuah keberanian.
Keberanian yang maha besar itu dapat kita lihat sebaik sahaja seorang ayah itu memutuskan untuk hidup barang sehari lagi. Dan sehari lagi. Dan selanjutnya hari yang seterusnya sehinggalah rohnya kembali dijemput Illahi. Dia tidak ikhlas untuk menghentikan hidup dengan tangannya sendiri biar tujuh saudara itu melilit keras setiap tulang belulang, menyesakkan ruang fikiran setiap detik setiap saat. Tidak, dia tidak bernafsu untuk menyerah begitu sahaja. Esok dia akan bernafas barang sehari lagi meski keadaannya tidak berubah, meski hari esok itu bererti tiada makanan untuk dibawa balik, meski hari esok itu bermakna akan ada air mata yang mengalir lesu di pipinya kerana tiada pekerjaan yang memanggilnya untuk kesekian kalinya. Meski hari esok itu bermaksud kemarahan sejerit lagi kerana keletihan, kepenatan merusuh masa dengan perhatian untuk kerja di hadapan mata dan anak di tepi telinga.
Untuk hidup sehari lagi. Meneruskan impian dan harapan komrad ayah-ayah yang telah berhenti perjuangannya, yang tidak mampu lagi untuk meneruskan dua puluh dua ribu nafas lagi dan tiada hukuman yang kita jatuhkan ke atas mereka kerana mereka adalah sahabat seperjuangan, sama-sama digelumangi tujuh hukum alam yang durjana itu. Impian kami isinya sama meski dibungkus dengan istilah yang berbeza - kami mahu melihat anak dan isteri kami bisa tidur dengan tenteram di malam hari. Jauh dari kelaparan, asing dari ketakutan dan berani juga untuk meneruskan hidup sehari lagi.
Keberanian untuk hidup sehari lagi. Itu sahaja yang diperlukan untuk tidak menjadi mangsa korban tujuh hukum alam itu tadi dan semoga sahaja keberanian kita itu akan diperhitungkan di hadapan Sang Pencipta untuk membawa kita, keluarga kita dan komrad yang gugur sebelum tempoh masanya berserta keluarganya, hidup bebas tanpa hukum alam itu di syurga kelak hendaknya.
Zharif Badrul adalah pembaca Alternatif Press
Foto: Reuters
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.