Memandangkan dunia sedang sibuk menjalankan program vaksinisasi penduduk dunia, izinkan saya untuk jelaskan apakah yang dimaksudkan dengan vakin terlebih dahulu.
Secara tuntas dari konteks perubatan, vaksin adalah merujuk kepada ‘persediaan biologi’ yang mengandungi bahan aktif atau antigen yang diperolehi dari sebahagian virus atau bakteria yang telah dimatikan atau dilemahkan untuk disuntik ke dalam badan manusia bagi tujuan peningkatan ketahanan atau imunisasi awal penerima terhadap penyakit tertentu.
Justeru, selepas Novel Coronavirus menyerang dunia pada 2019, saintis giat menyediakan vaksin untuk mengimunisasikan manusia daripada jangkitan virus COVID-19. Demikian pun, timbul cabaran baru yang terpaksa dihadapi oleh masyarakat dan juga badan-badan kesihatan seluruh dunia; menentang dakyah anti-vaksin (anti-vaxxer) yang menyebar dan mempengaruhi masyarakat dunia tentang keburukan vaksin.
Setakat ini, kajian telah melaporkan anggaran 3.1 % penduduk di Amerika Syarikat enggan mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 dan kebanyakkan golongan penolak vaksin ini adalah daripada kalangan konservatif, termasuk berkulit hitam dan 71% daripadanya adalah wanita.
Menurut Niall McCarthy, hasil kajian menunjukkan lebih satu billion orang di Timur Eropah dan Afrika juga enggan untuk menerima vaksin COVID-19. Dengan statistik menunjukkan Gabon sebagai negara tertinggi menolak vaksin dengan peratusan 66% diikuti Cameroon 65% dan Jordan pada 62%.
Di Timur Eropah negara seperti Hungary, Bulgaria, Bosnia, Herzegovina, Rusia, dan Kazakhstan adalah antara negara yang memiliki peratusan yang agak tinggi dengan 60% rakyat negara tersebut menolak untuk divaksin untuk memerangi virus COVID-19.
Di Malaysia, golongan anti-vaksin pula dapat di lihat berleluasa menyebarkan dakyah tentang penolakan penerimaaa vaksin dalam melawan COVID-19 dan mereka adalah terdiri daripada golongan yang mempercayai bahawa vaksin adalah kospirasi Big Pharma, Yahudi, Freemason, Illuminati dan juga COVID-19 adalah sebuah agenda pengautan kekayaan, selain perebutan persaingan antara dua kuasa dunia oleh golongan yang berarus corak fikir Manichean atau dualisme (boleh sahaja rujuk buku A Tragic Legacy: How a Good vs. Evil Mentality Destroyed the Bush Presidency oleh Glenn Greenwald untuk melihat bagaimana Manicheanisme mencorak dasar politik antarabangsa).
Jika didalami kembali secara tidak rasional maka sentiasa ada logik dalam teori pemikiran anti-vaksin ini dari kotak pemikiran literalist atau reaksionarisme (pentafsiran secara sempit). Kita soroti kembali sejarah kejatuhan dan kebangkitan tamadun dunia bahawa telah menjadi adat tabii alam bahawa kuasa yang mendominasi dunia sentiasa berubah-berubah.
200 tahun yang lampau dunia mengalami perubahan daripada era Pax-Britanica (1815-1914) kepada era Pax Americana (1945-kini) yang telah memperlihatkan dunia didominasi oleh United Kingdom dan United State dan ramai sarjana mengatakan kini bahawa dunia sedang melalui proses perubahan peralihan kuasa (Power shift) daripada Pax-Americana ke Pax Sinica yang bahawa dunia akan bakal diterajui oleh hegemoni baru iaitu China.
Maka, wujudlah teori kospirasi daripada golongan literalis ini yang menyatakan bahawa COVID-19 adalah sebuah agenda perebutan antara dua kuasa dunia untuk menjatuhkan ekonomi dunia dan siapa yang paling kuat akan bakal berkuasa dan mendominasi dunia. Hal ini penah menjadi ramalan oleh Paul Kennedy bahawa akan belaku kejatuhan kuasa hegemoni dunia Amerika Syarikat di atas faktor “overstretch” atau kehausan sumber ekonomi.
Lihat sahaja China yang sedang mara menguasai dunia dengan perkembangan ekonomi yang begitu stabil dengan statistik peningkatan 0.78% setiap bulan. Dapat dilihat juga dalam era pandemik yang cemas melanda dunia, ekonomi China kekal stabil meningkat dengan keberjayaan menghasilkan 10.09 juta pekerjaan baru dan kemungkinan Sick Man of Asia sedang bangkit kembali daripada kejatuhan 23 tahun yang lalu dan kemungkinan pemahaman anti-vaksin terhadap atur cara politik dunia ditafsir daripada konteks yang sempit seperti di atas.
Namun demikian, penulisan ini bukanlah penulisan yang akan meramal dan meneliti kejatuhan dan kebangkitan kuasa dunia. Sebaliknya penulisan ini cuba menyikap ideologi dan sejarah penentang vaksin dalam menyelamatkan dunia daripada kematian hitam.
Menurut kajian yang dijalankan oleh Texas A&M University School of Public Health menyatakan bahawa dua alasan yang paling popular dalam isu penolakkan vaksin adalah kerana kerisauan terhadap kesan sampingan daripada pengambilan vaksin dan sejauh mana keberkesanan vaksin. Manakala, kajian yang dijalan oleh Pediatric Pharmacology Advocacy Group menunjukkan penolakan terhadap penerimaan vaksin adalah disebabkan oleh faktor kepercayaan agama, kepercayaan individu, keselamatan dan kospirasi. Dan ini menunjukkan bahawa keyakinan dan kepercayaan masyarakat dunia terhadap vaksin adalah di tahap yang rendah.
Persoalan tentang penolakan vaksin bukan suatu yang baru dalam dunia pada hari ini. Sebaliknya sejarah penolakan vaksin ini telah berakar-umbi sejak tahun 1763 di Perancis dengan menidakkan kuarantin ke atas individu yang akan di vaksin. Di England kewujudan anti-vaksin dikesan pada sekitar tahun 1853 apabila Akta Vaksin diperkenalkan dan hasil tindakan ini telah mencetuskan penentangan daripada anti-vaksin dan terus menunjukkan penyebaran ideologi ke Amerika Syarikat dengan kemunculan kumpulan anti-vaksin pertama pada 1879.
Malahan wujud pula gerakan penentangan terhadap vaksin dengan melaungkan “Green Our Vaccines” dan vaksin juga penyebab kepada penyakit Autisma. Sehubungan itu juga, pada tahun 2000 wujud gerakan untuk menghapuskan vaksin campak (measles) dan akhirnya pada 2013 hingga 2015 telah menunjukkan penyakit campak kembali mengganas akibat daripada penolakan ibubapa terhadap bayi untuk divaksinisasikan.
Justeru, persoalan kenapa wujud kenapa gerakan pertama anti-vaksin daripada negara bukan Islam? Jika betul vaksin adalah agenda Freemanson, Illuminati, atau Yahudi; seharusnya gerakan ini tidak muncul di negara-negara Barat. Jadi konklusi yang saya boleh rumuskan adalah kemungkinan hal terjadi kerana kelemahan penyebaran fakta dan maklumat yang tepat kepada masyarakat menyebabkan salah faham dan juga kerana pemainan pemikiran psikologi masyarakat yang masih ditakuk kuno terhadap vaksin.
Justeru, kemungkinan dalam menyebarkan kebaikan vaksin kepada semua masyarakat dunia, satu gerakan penyebaran maklumat harus ditubuhkan untuk mendidik dan memberi informasi tepat kepada masyarakat di luar sana tentang kebaikan dan keberkesan vaksin dalam melawan pandemik berbanding langkah keras mengenakan tindakan undang-undang terhadap rakyat yang ingkar.
Nurfarhana Awang merupakan seorang pensyarah dan penyelidik yang berjiwa besar dalam dunia penyelidikan Sains Sosial yang berhasrat untuk menyumbang perubahan kepada sosiobudaya dan sosiopolitik masyarakat.
Foto: Phil Noble / REUTERS
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.