Pernahkah anda melihat seseorang yang sedang ketawa tiba-tiba menangis? Atau ketawa dan menangis yang bersungguh sehingga sangat sukar untuk berhenti? Atau ketawa dalam situasi yang sedih dan menangis dalam situasi yang lucu? Jika ya, individu ini mungkin menghidapi masalah pseudobulbar affect.
Pseudobulbar affect adalah satu keadaan di mana seseorang itu gagal mengawal emosinya sendiri. Penderita pseudobulbar cenderung untuk ketawa, menangis atau marah tanpa sebarang sebab dan tidak dapat mengawal tawa, tangis dan rasa marah tersebut.
Kebanyakan individu sering keliru antara simptom pseudobulbar affect dengan perubahan mood yang tidak menentu atau dipanggil mood swing. Ini adalah kerana jarang kita mendengar tentang pseudobulbar affect.
Ya, pseudobulbar affect juga merupakan satu penyakit. Ia memberi kesan kepada penderitanya. Jika sampai pada tahap tertentu, ia memerlukan rawatan.
Selain simptom yang dinyatakan di atas, penderita pseudobulbar affect juga mengalami masalah ekspresi muka yang tidak sesuai dengan emosi yang sedang dirasakan.
Sebagai contoh, dalam keadaan emosi yang sangat gembira, penderita pseudobulbar affect menunjukkan ekspresi muka marah.
Menurut pakar, masalah ini berpunca daripada gangguan sistem saraf. Hal ini boleh disebabkan oleh kecederaan pada prefrontal cortex, iaitu satu bahagian otak yang berfungsi mengawal emosi.
Selain itu, gangguan neurologi lain yang boleh menjadi punca kepada pseudobulbar affect termasuklah Amyotrophic lateral sclerosis (ALS), extrapyramidal and cerebellar disorders, multiple sclerosis, alzheimer, strok, trauma kecederaan otak dan ketumbuhan pada otak.
Kecederaan pada bahagian lain otak serta perubahan kimia yang berlaku juga turut menyumbang kepada pseudobulbar affect ini.
Pseudobulbar affect bukanlah sesuatu yang boleh diambil ringan. Penderita kepada masalah ini boleh mengalami kesan yang besar terhadap emosi mereka.
Mereka sedar kesemua simptom yang mereka alami. Mereka berlebihan dalam ketawa atau menangis, mereka sukar untuk berhenti jika ketawa atau menangis, mereka menunjukkan ekspresi yang salah dalam keadaan tertentu. Namun, mereka tidak mampu untuk berhenti atau mengawal perlakuan-perlakuan tersebut.
Kesemua ini membuatkan si penderita merasa malu dan kurang berkeyakinan untuk berhadapan dengan khalayak.
Jadi, apa yang boleh mereka lakukan? Mereka cuba mengelak daripada berjumpa atau berada dalam khalayak ramai.
Ini menyekat interaksi sosial dalam diri mereka yang mana hal ini seterusnya menjadikan mereka melalui kehidupan yang kurang berkualiti.
Daripada hal tersebut juga, ia mampu menyumbang kepada beban penyakit tambahan seperti depresi, anxiety serta tekanan perasaan melampau.
Jika anda rasa anda seorang penderita pseudobulbar affect, dapatkan nasihat perubatan daripada doktor yang boleh membantu mendiagnosis serta merawat masalah ini seperti pakar neuropsikologi, pakar neurologi dan psikiatri.
Dianggarkan terdapat banyak lagi kes pseudobulbar affect yang tidak dilaporkan kerana kurangnya kesedaran tentang penyakit ini. - ALTERNATIF
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.