Apa itu Borderline Personality Disorder?

Apa itu Borderline Personality Disorder?

Baru-baru ini dunia dikecohkan dengan perbicaraan kes saman fitnah artis Hollywood terkenal Johnny Depp dan bekas isterinya Amber Heard.

Kes saman fitnah itu difailkan di mahkamah Virginia, USA atas penulisan Heard untuk kolum Washington Post yang mengatakan dirinya mewakili mangsa penderaan domestik dengan menuduh Johnny melakukan keganasan rumah tangga.

Maka, bermulalah perbicaraan kontroversi yang bukan sahaja hangat di USA tetapi juga mendapat perhatian masyarakat dunia.

Perbicaraan yang mendapat liputan dan disiarkan secara langsung itu berjalan kira-kira 6 minggu sebelum keputusan rasmi dikeluarkan pada 2 Jun lalu yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada Johnny Depp.

Ini bermakna bekas isterinya memfitnah Johnny Depp melakukan keganasan rumah tangga.

Segala bukti-bukti yang dibentangkan di mahkamah dan saksi-saksi yang tampil memberi keterangan menunjukkan bukan Johnny Depp yang melakukan penderaan terhadap bekas isterinya tetapi lebih mengejutkan bekas isterinya yang melakukan penderaan secara fizikal mahupun mental terhadap Johnny Depp.

Apa yang menariknya, seorang ahli psikologi klinikal dan forensik berlesen di California dan Hawaii telah dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah tentang sebarang kemungkinan terdapat penderaan yang berlaku dalam hubungan Johnny dan Amber.

Dr. Shannon memberitahu selepas penilaian psikologi dijalankan terhadap Heard, berasaskan dokumen kes, rekod perubatan, rawatan kesihatan mental, rekod audio dan video serta perjumpaan bersama Heard selama 12 jam didapati Heard memenuhi kriteria Borderline Personality Disorder (BPD) dan Histrionic Personality Disorder.

Apa itu BPD

BPD adalah satu keadaan mental yang mempengaruhi cara seseorang berfikir dan memandang diri sendiri dan orang lain.

Penghidap gangguan personaliti ini biasanya mempunyai masalah dalam mengawal emosi, tingkah laku, sukar bertolak ansur dan mood yang boleh berubah secara mendadak.

Kesemua masalah ini mempengaruhi kehidupan harian penghidap BPD. Mereka kebiasaannya mempunyai masalah perhubungan dengan orang sekeliling. Emosi yang tidak stabil tingkah laku mereka yang tidak dapat diramal menyebabkan mereka dijauhi.

Ciri-ciri penghidap BPD

  • Takut ditinggalkan atau diabaikan.
  • Corak perhubungan yang tidak stabil. Sebagai contoh, terlalu suka dan sayang kepada seseorang namun secara tiba-tiba mengganggap orang tersebut mengabaikannya.
  • Tingkah laku impulsif dan berisiko, seperti berjudi, memandu secara melulu, seks tidak selamat, berfoya-foya, makan berlebihan atau penyalahgunaan dadah.
  • Perasaan kosong yang berterusan.
  • Kemarahan yang tidak wajar dan keterlaluan, seperti sering hilang sabar, sindir atau melibatkan pergaduhan fizikal.

Faktor terjadinya BPD

Beberapa faktor risiko dapat dikaitkan kepada terjadinya BPD. Antaranya adalah zaman kanak-kanak yang menyakitkan seperti penderaan fizikal, seksual mahupun pengabaian daripada ibu bapa atau penjaga.

Kajian menunjukkan faktor genetik juga boleh menjadi punca kepada BPD. Kemungkinan seseorang menghidapi BPD adalah tinggi jika ibu bapa, adik-beradik atau saudara-mara juga menghadapi gangguan personaliti ini.

Selain itu, kelainan pada bahagian otak juga boleh menjadi punca kepada gangguan personaliti BPD.

Penghidap BPD akan mengalami kesukaran dalam menguruskan tugas harian di rumah, melakukan tugas dengan baik di tempat kerja dan kesukaran dalam mengekalkan perhubungan.

Ketiga-tiga masalah ini akan seterusnya menjurus kepada masalah kehidupan yang lebih serius seperti penceraian, hubungan yang toksik atau tidak baik dengan keluarga dan orang sekeliling serta isu kewangan.

Gangguan personaliti ini hakikatnya menyakitkan bagi penghidapnya. Mereka hidup dalam dunia mereka sendiri. Mereka juga bergelut dalam mengawal emosi sendiri yang sering turun-naik.

Terapi diri jalan terbaik

Terapi yang disarankan bagi BPD adalah talk teraphy yakni terapi ini boleh membantu penghidap BPD untuk menjalani kehidupan harian dengan lebih baik, menjalinkan hubungan yang lebih sihat dengan orang sekeliling dan mengurangkan tindakan impulsif dan bahaya terhadap diri sendiri.

Proses pemulihan bagi masalah gangguan personaliti tentunya mengambil masa. Jika penghidap BPD konsiten dan tidak putus asa dalam menjalani terapi yang disarankan, simptom-simptom akan semakin baik seiring waktu dan mereka akan berupaya mengawal emosi dengan lebih baik.

Syarmila Ishak merupakan anak Kedah yang mahu rantau seluruh dunia dan minat membaca novel tentang kehidupan atau apa-apa sahaja bacaan yang memberi inspirasi.

Rujukan:

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/borderline-personality-disorder/symptoms-causes/syc-20370237

https://www.webmd.com/mental-health/borderline-personality-disorder

https://hellosehat.com/mental/mental-lainnya/borderline-personality-disorder/

Kredit foto:  indianexpress.com

Share this Post: