Antara Simbolisme dan Fesyen Baju Melayu (Bhg 2)

Antara Simbolisme dan Fesyen Baju Melayu (Bhg 2)

Sambungan dari Bahagian 1

Protokol dan istiadat Baju Melayu

Evolusi rekaan dan penambahbaikan potongan adalah resam serta kebiasaan dalam pembuatan busana ataupun pakaian. Rekaan dan penambahbaikan pakaian adalah sebahagian daripada fesyen dan ia juga adalah suatu perkara yang baik dan positif.

Fesyen pakaian sentiasa berkembang dan berubah. Begitu juga Baju Melayu berevolusi daripada potongan zaman awalnya hingga kepada bentuk potongannya hari ini. Daripada itulah lalu ianya disusuli dengan penyusupan makna dan simbolisme.

Pada awalnya istiadat dan protokol berbusana Melayu itu bermaksud baik dan positif bagi menjaga tertib berpakaian serta memelihara keterampilan para pemakai. Namun lama kelamaan ia berubah menjadi protokol yang ketat dan adat yang tegar sehingga ianya tidak boleh diubah. Malah pada suatu tahap ada yang beranggapan setiap simbolisme itu menjadikan pakaian tersebut sakral dan kudus.

Potongan dan rekaan pakaian yang mulanya menjadi identiti yang menunjukkan latar belakang pemakai supaya dapat dibezakan antara pemerintah, pembesar, pemimpin masyarakat dan rakyat biasa juga telah berubah menjadi bentuk feudalisme yang membezakan darjat pemakai. Rakyat biasa tidak boleh memakai pakaian yang potongan, material dan warnanya yang dikhaskan buat golongan pemimpin dan pemerintah.

Namun bagi sesetengah orang semua ini kedengaran melampau, karut, tahyul dan ketinggalan zaman. Bukannya pakaian tersebut yang ketinggalan zaman, tetapi segala protokol ketat dan adat istiadat tegar tersebutlah yang mengarut.

Pelengkap Baju Melayu

Secara adatnya juga, busana Melayu perlu dipakai dengan sepersalinan lengkap. Ia merangkumi baju dan celana serta lengkap dengan samping, keris dan destar (pakaian hulu).

Samping juga penuh dengan simbolisme dan cara memakainya. Ada yang berdagang luar dan berdagang dalam. Berdagang luar maksudnya baju terletak didalam (baju ‘tuck in’) dan samping terletak di luar.

Cara ikatan samping juga pelbagai dan ada simbolismenya. Namun bagi rakyat biasa dan marhaen, gulungan biasa adalah popular.

Namun lipatan kanan mestilah diatas lipatan kiri sebelum ianya digulung. Ini sama seperti kedudukan tangan kanan yang disilang di atas tangan kiri sewaktu berdiri tegak (qiyam) ketika bersembahyang.

Labuh samping juga membawa maksud dan simbolisme yang berbeza. Jika ianya di atas lutut bermakna si pemakai belum berkahwin. Jika labuhnya sedikit melepasi lutut maka ia bermakna si pemakai telahpun beristeri.

Destar

Destar pula adalah ‘pakaian hulu’ yang melengkapkan sepersalinan busana Melayu. Seumpama sebatang keris yang bersarung, ianya juga hendaklah mempunyai hulu.

Tanjak dan tengkolok sudah pastilah destar. Namun ada juga yang mengatakan bahawa songkok juga termasuk destar, namun ini diperdebatkan.

Kata orang, setiap tengkolok adalah tanjak, namun bukan setiap tanjak adalah tengkolok. Namun bagi sesetengah yang lain pula perbezaan tengkolok dan tanjak cumalah sekadar perkataan sedangkan ianya tiada kelainan.

Destar pada asalnya adalah pakaian hulu yang diikat di kepada secara ringkas seperti yang dipakai oleh petani. Namun ia berevolusi dan digubah serta lipatannya semakin cantik serta kualiti materialnya semakin bermutu berbanding destar biasa lalu dinamakan sebagai tanjak dan tengkolok.

Dahulu kebiasaannya tanjak dan tengkolok cuma dipakai oleh seseorang yang berkedudukan. Cuma solek dan material tanjak dan tengkolok tersebut yang membezakan bahawa apakah si pemakai itu seorang pahlawan, hulubalang, pemimpin masyarakat, bangsawan, kerabat diraja mahupun seorang Raja.

Daun dan solek tengkolok biasanya mengarah ke kiri pemakai. Namun bagi solek dan daun tengkolok yang mengarah ke kanan pemakai ataupun letak di tengah (mengarah tegak ke atas) ia adalah khusus buat seorang Raja.

Tanjak dan tengkolok jarang-jarang dipakai oleh rakyat biasa dan marhaen. Rakyat cuma berdestar biasa sahaja.

Walaupun tengkolok dan tanjak dikatakan sama, namun perbezaan yang jelas ialah wujud tengkolok untuk wanita manakala tanjak adalah khas buat lelaki sahaja. Antara contoh tengkolok untuk wanita yang sering terlihat ialah tengkolok tanduk yang dipakai oleh golongan wanita Minangkabau.

Busana Wanita Melayu

Adalah tidak adil rasanya jika cuma busana lelaki Melayu sahaja yang banyak dibincangkan. Pakaian wanita Melayu juga mempunyai ciri-ciri yang tersendiri serta kaya dengan simbolismenya juga.

Cuma pengetahuan penulis terhadap busana wanita Melayu adalah amat terhad. Namun bagi penulis, wanita Melayu sememangnya tidak dapat dipisahkan daripada Baju Kurung.

Dapat ditelusuri bahawa asal-usul Baju Kurung adalah juga seawal Baju Melayu yang diperkenalkan semasa zaman Kesultanan Melayu Melayu. Keunggulan Baju Kurung juga adalah sama dan setanding statusnya dengan Baju Melayu.

Malah pada asalnya Baju Melayu juga dipanggil Baju Kurung. Cuma yang membezakannya ialah Baju Kurung Lelaki dan Baju Kurung Perempuan.

Berbanding Baju Melayu, simbolisme Baju Kurung dan busana wanita Melayu pula amat terkait dengan motifnya seperti motif flora, fauna ataupun motif unsur-unsur alam. Malah pemilihan warna juga adalah membawa makna.

Evolusi Baju Melayu serta Fesyen Kontemporari

Yang menjadi persoalan, apakah pemakaian busana Melayu seperti Baju Melayu dan tanjak ini ialah suatu fesyen yang boleh diubahsuai dan dibudayakan kembali sesuai dengan zaman atau ia adalah pakaian yang ketat dan tegar dengan protokol dan adat istiadat.

Apakah ini maksud adat dan istiadat sesuatu jenis pakaian semasa ia mula diperkenalkan? Jika ianya terlalu ketat dengan protokol adat istiadat maka pakaian tersebut pasti sukar untuk dibudayakan secara meluas kembali. Ia mungkin dipakai pada hari kebesaran serta majlis-majlis tertentu sahaja.

Ia seumpama segelintir guru-guru silat yang tidak mahu seni mempertahankan diri tersebut diperkenalkan secara meluas kepada umum seperti taekwondo dan karate kerana sikap sentimental bahawa seni mempertahankan diri tersebut adalah cuma milik orang-orang Melayu dan terkait mistik serta Islamik dan tidak boleh dipelajari oleh kaum lain.

Namun jika pemakaian tradisi ialah satu fesyen yang boleh diubahsuai, maka ianya lebih mudah untuk dibudayakan secara meluas kembali tanpa terikat dengan protokol dan adat istiadat yang terlalu ketat. Ianya cuma dipandu secara umum agar pakaian tersebut selesa untuk pemakai dan tetap terlihat sopan pada pandangan umum.

Apakah Baju Melayu yang berbutang tiga tetap dianggap Baju Melayu? Atau apakah bertanjak sambil berbaju T serta berseluar jeans dianggap melanggar adat istiadat?

I rest my case.

Rizuan Abdul Hamid adalah seorang yang berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.

Foto hiasan ihsan DagangNews

Share this Post: