AIR KOSONG UNTUK BAYI : YA ATAU TIDAK?

AIR KOSONG UNTUK BAYI : YA ATAU TIDAK?

Menjadi ibu bapa buat pertama kali, pastinya banyak yang harus dipelajari. Di saat-saat ini para ibu bapa akan diasak dengan nasihat-nasihat berasaskan kebiasaan, amalan, dan pengalaman orang di sekeliling menjaga anak yang baru dilahirkan. Hanya dengan ilmu, para ibu bapa dapat menapis setiap nasihat sebelum dipraktikkan.

Fakta : Bayi bawah umur 6 bulan tidak boleh diberikan air kosong

Makanan utama untuk bayi baru lahir sehingga 6 bulan adalah susu ibu. Kesemua nutrien yang diperlukan oleh bayi lengkap dibekalkan oleh susu ibu.

Mitos : Bayi perlu minum air kosong kerana susu ibu tidak mencukupi

Ketahuilah susu ibu mengandungi 88% air, cukup untuk keperluan bayi.

Fakta : Memberi air kosong kepada bayi bawah usia 6 bulan adalah amat bahaya

Kesan pertama, pemberian air kosong kepada bayi baru lahir adalah “water intoxication”. Water intoxication adalah keadaan air berlebihan dalam tubuh bayi yang akan melarutkan garam di dalam tubuhnya. Pengurangan paras garam ke tahap kritikal akan menyebabkan hyponatremia.  Simptom-simptom yang akan dialami oleh bayi hyponatremia adalah seperti sawan, kekejangan, kembung perut dan suhu badan yang rendah.

Kedua, air mengandungi mikroorganisma. Pemberian air kosong kepada bayi akan meningkatkan risiko bayi terkena cirit-birit dan muntah.

Ketiga, air kosong tidak mengandungi kalori. Perut bayi akan terasa penuh selepas diberikan air kosong seterusnya bayi akan menolak susu ibu yang penuh dengan nutrien. Jika keadaan ini berterusan, bayi mungkin akan mengalami kekurangan zat serta tumbesaran terbantut.

Jadilah ibu bapa yang bijak. Tanggungjawab membesarkan anak memerlukan ilmu supaya anak membesar dalam atmosfera yang selamat.

Syarmila Ishak merupakan anak Kedah yang mahu merantau seluruh dunia dan minat membaca novel tentang kehidupan atau apa-apa sahaja bacaan yang memberi inspirasi.

 

Rujukan:

http://www.myhealth.gov.my/breastfeeding-danger-of-water/

https://www.doktorbudak.com/2013/12/22/patutkah-bayi-diberi-air-kosong/

Kredit foto : parenting.firstcry.com

Share this Post: