“Proletarier aller Länder vereinigt Euch (Para pekerja seluruh dunia, bersatulah!)” - Marx & Engels
Seruan keramat ini menyergah dunia pada tanggal 21 Februari 1848 sebagai kalimat penutup bagi risalah kecil yang kini dikenali dunia dengan nama Manifesto Komunis (The Communist Manifesto). Menjelang abad ke-21, Manifesto kekal menjadi antara karya dunia yang sangat berpengaruh dalam kalangan pelajar, sarjana, mahupun khalayak umum. Resume kemasyhurannya cukup panjang; tersenarai sebagai oleh buku kedua terlaris oleh Guinness Book of World Records, tersenarai dalam lebih 1 juta silibus pengajian (Open Syllabus Project), dinobatkan dalam UNESCO's Memory of the World Programme, bahkan turut tersenarai dalam ‘Sepuluh Buku Paling Berbahaya pada Abad ke-19 dan ke-20’ oleh jurnal konservatif Amerika Syarikat, Human Events, diikuti dengan Mein Kampf di tangga kedua.
Legasi Manifesto yang meluas dan bercampur baur ini sebaiknya menimbulkan beberapa tanda tanya pada kita semua; apakah latar dan idea yang menjadi kandungan penulisan naskah kecil ini? Apakah intipati dan semangat yang terkandung di dalamnya? Ataupun, dalam ungkapan yang lebih tuntas, harus kita tanyakan: Ada apa dengan Manifesto Komunis?
Pada awal Februari 1848, setelah naskah kecil ini siap tertulis, Marx mengirimkannya dari Brussel ke London. Kiriman ini, pada awalnya, adalah hasil permintaan dari Liga Komunis kepada Marx dan Engels, dalam Kongres keduanya di London bermula dari tanggal 29 November hingga 10 Disember 1847. Marx dan Engels, mewakili Liga Komunis cabang Brussel, Belgia, turut serta dalam Kongres tersebut sebagai dua pemuda (Marx berusia 29 tahun, dan Engels berusia 27 tahun) dan diberi kepercayaan untuk merangka suatu program untuk dijadikan panduan gerakan mereka.
Setelah menerima amanat tersebut, Marx pada awalnya sedikit teragak-agak untuk menyiapkan tugasan ini. Seusai pulang ke Brussels Marx tidak langsung mengerjakan Manifesto ini, sebaliknya beliau lebih sibuk menyiapkan kuliahnya tentang tentang buruh-upahan (wage-labour) buat Persatuan Pendidikan Buruh Jerman (German Workers’ Educational Association). Hanya selepas pujukan daripada Engels, dan surat ‘ultimatum’ daripada Jawatankuasa Pusat, akhirnya barulah naskah ini disiapkan, dan akhirnya tercetak sebanyak 1000 naskah di sebuah kilang kecil di Liverpool. Tiada siapa yang tahu, termasuklah Marx dan Engels sendiri, bahawa risalah kecil setebal 23 halaman, berukuran 21.5 x 13.4 cm, dengan judul Manifest der Kommunistischen Partei (Manifesto Parti Komunis), bakal menjadi karya politik yang paling berpengaruh dalam sejarah dunia.
Para sarjana dan sejarawan sudah letih berdebat dalam menilai pengaruh karya Manifesto ini sewaktu penerbitannya. Pada awalnya, naskah ini terbit dan tersebar secara ‘anonymous’; tanpa judul, tanpa penulis. Kitaran sebarannya juga terhad. Selain daripada beberapa rangkaian gerakan buruh di Jerman, menurut Hal Draper, terbitan Manifesto tidak dirujuk (baik secara teoretis atau programatik), bahkan barangkali langsung tidak diketahui, oleh kebanyakan gerakan politik lain di Eropah (Draper 1994, 23–25). Hakikatnya, Manifesto tidaklah mendatangkan apa-apa pengaruh yang signifikan, ianya menjadi karya yang dilupakan, yang tenggelam dalam arus politik Eropah yang deras, sehinggalah ianya diterbitkan semula pada tahun 1872.
Manifesto Edisi 1872 terbit atas permintaan sekumpulan gerakan sosialis di Jerman, terutamanya Wilhelm Liebknecht dan August Bebel, yang mahu meletakkan Marx sebagai ideolog gerakan mereka (adakalanya mereka menggelar diri mereka sebagai ‘parti Marx’ tanpa persetujuan Marx sendiri). Dalam menyudahkan prakata baru edisi 1872, Marx dan Engels, kelihatan tidak begitu senang dengan penerbitan ini. Ada beberapa sebab mengapa mereka ragu-ragu; pertama, Marx telah menerbitkan banyak karya lain sejak terbitnya Manifesto yang jauh lebih terbangun ideanya, antaranya seperti The Class Struggle in France (1850), The Eighteenth Brumaire of Louis Bonaparte (1852), Contribution to Critique of Political Economy (1859), Das Kapital Vol. I (1867), dan The Civil War in France (1871); dan kedua, karya Manifesto sangat terikat dengan konteks politik tahun 1850-an, serta pengamatan sejarah dan teoretisnya, menurut Marx dan Engels sendiri, sudah ‘outdated’ dan diperbetulkan dalam karya-karya selepasnya.
Justeru, melalui prakata edisi 1872, Marx dan Engels mengingatkan para pembaca, bahawa sungguhpun “prinsip-prinsip umum yang digariskan dalam Manifesto” masih terpakai, perubahan keadaan politik yang begitu deras sejak 25 tahun penerbitannya telah menjadikan Manifesto “suatu dokumen sejarah yang tidak lagi dapat kami ubah.” Prakata tersebut juga menyebut dengan terang akan beberapa bahagian dalam Manifesto yang dianggap “sudah lapuk” dan perlu “pengolahan semula.” Marx dan Engels juga menegaskan bahawa, “‘penerapan prinsip-prinsip (dalam Manifesto)..bergantung pada keadaan sejarahnya”; atau dalam maksud lain, Manifesto bukanlah karya teoretis yang menawarkan formulasi universal dan boleh terpakai dalam setiap ruang geografi dan masa.
Sikap yang kritis, dan sensitif dengan pensejarahan sesuatu karya, sepertimana yang ditonjolkan oleh Marx dan Engels inilah yang akhirnya tercicir dalam pembacaan semula karya Manifesto pada hari ini. Manifesto diangkat, baik dari orang kiri mahupun kanan, sebagai ‘karya termutakhir Marx’ atau rujukan teoretis yang menyimpan keseluruhan pandangan sarwa Marx sepanjang 64 tahun perjalanan hidupnya. Diktumnya boleh disimpulkan seperti berikut: “Sekiranya hendak menyelam ke dalam lautan idea Marxisme, maka rujuklah Manifesto.” Diktum ini jugalah yang menjadi latar mengapa Jordan Peterson memetik karya Manifesto sebagai tumpuan kritikannya terhadap “Marxisme” sewaktu berdebat dengan Slavoj Zizek (debat bertempat di Toronto dengan judul “Happiness: Capitalism vs Marxism”).
Walhal, sikap seperti ini sudah pun ditolak oleh Marx dalam prakata edisi 1872. Prakata tersebut menekankan limitasi Manifesto dan konteks sejarah yang meliputinya. Meletakkan karya Manifesto sebagai pusat rujukan bagi wacana Marxisme adalah sesuatu yang tentunya asing dan tak dijangka-jangka oleh Marx dan Engels sendiri!
Tidaklah pula dinafikan bahawa Manifesto adalah suatu dokumen bersejarah yang mempunyai banyak kekuatan tersendiri. Sebahagian daripada pengamatan Marx dan Engels yang tersimpan dalam Manifesto, semisalnya berkenaan dengan globalisasi, ledakan arus proletarianisasi, dan jurang ekonomi yang terus melebar, semakin terus relevan pada masakini.
Namun, tidak juga boleh disangkal, bahawasanya terdapat juga idea-idea di dalam Manifesto yang sudah diabaikan oleh Marx, bahkan tidak lagi bertepatan dengan perkembangan dunia semasa. Hal ini turut disedari oleh Trotsky, sehinggakan pada Oktober 1931, bersempena dengan penerbitan Manifesto edisi berbahasa Afrikaans, beliau telah menulis sebuah kata pengantar yang menyenaraikan beberapa kekuatan hujah Manifesto, termasuklah sejumlah lapan kesilapan yang terkandung dalam risalah bersejarah itu.
Sekiranya terdapat satu pengajaran yang besar yang jelas tersemat dalam Manifesto Komunis ianya adalah sikap pensejarahan yang kritis dalam pemikiran Marx dan Engels dalam menyinggung isu-isu yang mereka depani. Karya Manifesto adalah testimoni kepada sikap mereka yang tidak menjadikan analisis mereka dipandu slogan-slogan yang abstrak dan tidak berakar dalam konteks semasa. Dunia di zaman Marx dan Engels juga berubah, dan begitulah juga pandangan mereka. Tidak kiralah Marxis atau tidak, sikap ini boleh kita jadikan pedoman dalam mengharungi dunia masakini yang jauh lebih pesat dan rencam sifatnya.
Imran Bin Mohd Rasid adalah pengkaji politik antarabangsa. Beliau sering melakukan kerja-kerja penyuntingan, penterjemahan, dan penulisan.
Foto: Steven Heller / Design Observer
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.